Hun Haqeem
Hun Haqeem
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Hun Haqeem, ingin menghabiskan tahun 2023 untuk 'berehat' secukupnya, bagi memberi laluan kepada proses penyembuhan kakinya selepas mengalami kecederaan 'Anterior Cruciate Ligament' (ACL), baru-baru ini.

Hun, 25, berkata, tempoh berehat adalah penting bagi memastikan dia dapat memberikan hasil kerja lakonan berkualiti selepas ini.

"Buat masa sekarang, mungkin sehingga 2024, saya akan perlahankan sedikit kerja-kerja lakonan sebab nak beri masa untuk kaki saya sembuh sepenuhnya. Kalau mengikut nasihat doktor, saya perlukan tempoh matang enam bulan untuk sembuh.

"2024 saya akan mulakan semula kerja-kerja lakonan. Saya perlu sembuh sepenuhnya dahulu kerana kalau boleh, sekiranya ada tawaran-tawaran karya bergenre aksi lagi selepas ini, tentunya saya nak berikan yang terbaik," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia percaya, setiap pekerjaan perlukan masa rehat yang mencukupi dan bukan hanya apabila diserang dengan kecederaan.

"Saya percaya, sebagai manusia, kita kena rehat juga. Sama juga kalau orang-orang yang bekerja di pejabat dan sebagainya, tentunya perlukan masa untuk rehat supaya dapat berikan hasil kerja yang lebih berkualiti," katanya.

Ditanya sama ada ACL itu mengganggu aktiviti hariannya, Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy berkata, dia akan rasa sakit ketika berjalan.

"Sedikit sebanyak, ACL ini membuatkan saya rasa sakit ketika berjalan. Tapi, alhamdulillah sebab saya masih boleh berjalan," katanya.

Terdahulu, Hun mengalami kecederaan ketika menjayakan babak aksi dalam drama bersiri terbaharu lakonannya, W: Two Worlds, namun, masih komited untuk menyelesaikan penggambaran.

"Nak dijadikan cerita, ketika hari ke-40 penggambaran drama bersiri W: Two Worlds, kaki saya mengalami kecederaan ACL.

"Pada waktu itu, kami masih berbaki 23 hari lagi penggambaran dan itu menjadi satu 'beban' untuk saya. Tapi, nak buat macam mana sebab ia perkara yang berlaku di luar kawalan.

"Saya pergi melakukan pemeriksaan dan masih boleh teruskan penggambaran memandangkan saya masih ada komitmen. Mujurlah, ia tak jadi semakin teruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 11:58 AM