Ahmad Tarmimi Siregar lakar kejayaan menerusi filem Perjalanan Pertama
Ahmad Tarmimi Siregar lakar kejayaan menerusi filem Perjalanan Pertama
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, 73, mengakui keputusannya menghadiri Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) 2023 pada saat-saat akhir ada hikmahnya selepas dia dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik, semalam.

Menurutnya, walaupun awalnya tiada jemputan, Ahmad Tarmimi 'redah' saja untuk menghadiri acara kemuncak pengiktirafan berprestij itu yang berlangsung di Kuching, Sarawak.

"Saya tidak berharap, tapi saya bermimpi. Apabila diberitahu tercalon AIFFA, saya tertanya macam mana nak pergi, saya tak dijemput. Saya cakap sekadar main-main saja, bukan mengadu.

"Sesekali, kalau tak jemput, kita jemput diri sendiri, boleh juga. Sudah dicalonkan bukan? Kalau ada rezeki, adalah. Kalau tak ada, berseronok.

"Sebenarnya pernah berlaku pada satu festival. Saya tak dijemput secara rasmi sangat. Tapi tak mengapa, saya pergi juga dan menang. Ini adalah kali kedua (berlaku)," katanya.

Ahmad Tarmimi yang menang kategori terbabit menerusi persembahan cemerlang dalam filem Perjalanan Pertama sangat terharu apabila dapat mengharumkan nama Malaysia.

"Apapun, terima kasih kepada AIFFA yang menghargai lakonan saya. Saya memang rasa sangat seronok hari ini. Terutama dapat jumpa dengan beberapa orang yang lama saya tak jumpa. Saya dapat hasil daripada kerja saya," katanya.

Dalam kategori itu, beliau mengetepikan Andrew Ramsay menerusi filem Ginhawa (Filipina), Tommy Alejandrino (The Baseball Player – Filipina), Huy Yaleng (Father's – Kemboja) dan Amerul Affendi (Prebet Sapu – Malaysia).

Pada acara terbabit, bintang K-Pop terkenal, Rain yang hadir memeriahkan majlis turut menerima Anugerah Inspirasi Asean.

Rain atau nama sebenarnya, Jung Ji Hoon, 40, menjadi jemputan khas untuk acara kali ini.Malam kemuncak AIFFA 2023 turut dimeriahkan dengan persembahan artis Malaysia dan Indonesia seperti Hetty Koes Endang, Datuk Sheila Majid, Zee Avi, Amir Jahari dan The Shang Sisters.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 2:13 PM