FREDDIE Fernandez. FOTO arkib NSTP
FREDDIE Fernandez. FOTO arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), akan menganjurkan sesi town hall bertujuan mencari jalan penyelesaian terhadap isu royalti artis.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, sesi bertajuk Polemik Royalti : Sampai Bila? akan diadakan pada 29 Ogos ini di Auditorium MATIC, Jalan Ampang, di sini, jam 3 petang.

Freddie berkata, keterujaan artis rakaman berkenaan pindaan kepada Akta Hakcipta 23 tahun yang lalu, bertukar kekecewaan apabila sehingga sekarang belum lagi menerima royalti ini dalam satu kaedah yang konsisten.

"Karyawan melihat perkara ini berlaku atas beberapa sebab. Antaranya ialah kegagalan ramai artis untuk mengetahui hak mereka dalam soal royalti muzik dan ambil tindakan untuk menuntut hak itu.

"Apa yang kita lihat ialah ramai artis masih kabur dengan perkara ini dan tidak tahu apa yang berlaku. Yang pasti adalah mereka tidak dapat royalti secara konsisten seperti yang dijanji oleh pelbagai pihak sebelum ini.

"Satu lagi sebab atas kegagalan ini adalah kerana orang yang sudah dilantik untuk mengendalikan badan kutipan artis tidak menjalankan tugas mereka secara profesional," katanya.

Freddie berkata, dari tahun 2000 apabila Akta Hakcipta dipinda, sehingga sekarang sudah ada tiga badan yang sudah membuat pelbagai janji untuk memperjuangkan perkara ini berhabis-habisan, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"Dua antara tiga badan yang ditubuhkan untuk mengutip royalti artis sudah pun tutup operasi. Badan tunggal yang tinggal pula tidak berfungsi dengan sempurna sehingga tiada sebarang berita mengenai perkembangan baru mereka dan tiada pembayaran royalti secara konsisten.

"Mereka yang menguruskannya juga tidak arif dengan perkara royalti dan hak cipta. Kami rasa sudah sampai masanya memanggil semua artis rakaman untuk memberitahu mereka apa yang berlaku sejak 23 tahun yang lepas," katanya.

Beliau juga memohon persetujuan mereka untuk mengambil beberapa langkah yang dianggap patut dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh.

"Antara cadangan yang ingin dikemukakan ialah untuk balik kepada sistem badan kutipan tunggal yang sudah digunakan sebelum ini dan mencapai kejayaan apabila mendapat sokongan semua pengguna-pengguna dan premis yang menggunakan muzik di tempat awam.

"Dengan adanya teknologi yang terbaru, kami anggap bahawa badan kutipan tunggal adalah jalan terbaik dan akan berjaya menyelesaikan segala masalah yang wujud dalam sistem kutipan sekarang.

"Ini yang kami ingin terangkan kepada ahli-ahli kami yang akan hadir pada sesi town hall terbabit untuk mendapatkan persetujuan dan mandat daripada mereka untuk meneruskan dengan rancangan ini," katanya.

Pada masa sama, Karyawan berterima kasih kepada KPDN, khususnya Ketua Setiausahanya Datuk Azman Mohd Yusof yang memberi sokongan penuh kepada usaha untuk mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah royalti artis ini.

"Ia dah berlarutan selama lebih dua dekad. Dengan komitmen dan dedikasi seperti ini, kami rasa sudah sampai ke satu tahap di mana penyelesaian terhadap masalah ini pun sudah dekat

"Karyawan menjemput semua artis rakaman tak kira penyanyi, pemuzik atau pun penyanyi latar untuk menghadiri town hall ini dan memberi sokongan kepada usaha murni yang dilakukan oleh KPDN dan Karyawan.

Kehadiran adalah percuma," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 1:59 PM