AINA Abdul. FOTO Shahril Badri Saali
AINA Abdul. FOTO Shahril Badri Saali
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi popular, Aina Abdul menjadikan setiap teguran mengenai penampilan dan fesyen yang digayakan di Anugerah Bintang Popular BH ke-35 (ABPBH35) baru-baru ini, sebagai nasihat.

Aina berkata, dia menghargai setiap maklum balas yang diberikan peminat dan menganggapnya sebagai satu sokongan.

"Biasanya saya jarang sekali meluahkan apa yang terbuku di hati. Saya hanya memuat naik perkara berkaitan kerja di media sosial. Namun, hari ini saya terpanggil untuk menulis sesuatu.

"Saya sudah membaca dan melihat semuanya serta meneliti semuanya. Malah, saya juga renungkan setiap teguran yang masuk.

"Terima kasih kepada semua yang ambil berat, menegur untuk kebaikan, meninggalkan sesuatu yang baik, kata-kata semangat dan segala komen.

"Saya sangat menghargainya dan Alhamdulillah. Saya cuba untuk menjadi lebih baik selepas ini," tulis Aina di Instagram.

Terdahulu, Aina tampil memberi kejutan di sesi karpet merah ABPBH35 memakai blazer gergasi berwarna merah. Malah, Aina 'terpaksa' menaiki lori lutsinar disebabkan saiz blazer bersaiz empat kaki lebar itu dan tidak muat sekiranya menaiki kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 2:41 PM