ADIBAH hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. FOTO Aziah Azmee
ADIBAH hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. FOTO Aziah Azmee
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Perbicaraan kes nusyuz membabitkan suami pelakon Miera Liyana, Rosland Othman dan isteri pertamanya Adibah Abdul Mutalib akan disambung pada 15 Ogos nanti bertempat di Mahkamah Rendah Syariah, di sini.

Pada prosiding hari ini di hadapan Hakim Abdul Fattah Datuk Kamarudin, Adibah, 50, menerusi peguamnya Md Taufeq Al Amin Sahri dan Junid Ramali sudah menghantar keterangannya selaku defendan.

"Untuk penyata keterangan defendan kami failkan lambat sedikit kerana ada masalah untuk dokumentasi sebagai bukti-bukti dilampirkan itu.

"Keterangan defendan belum boleh cerita. Keterangan itu sudah muktamad cuma kemungkinan ada atau tak ada bantahan plaintif itu, kita tak tahu.

"Sebagaimana pihak plaintif nyatakan kepada mahkamah tadi, mereka kena meneliti untuk memastikan semua keterangan defendan diterima atau bantah akan diketahui pada prosiding akan datang," kata Taufeq.

Berhubung status nusyuz itu, penelitian daripada pihak Rosland, 50, selaku plaintif akan dibuat terlebih dulu bagi menentukan proses susulannya.

"Status akan dimulakan dengan pihak plaintif memastikan ada atau tidak keterangan defendan yang dibantah. Kalau tiada, kita teruskan dengan penandaan dokumen, kemudian soal balas keterangan," katanya.

Bagaimanapun, Rosland tidak hadir pada prosiding hari ini. Hanya peguamnya Nurul Balqis Nordin hadir dan memaklumkan anak guamnya tidak sihat.

Pada prosiding sebelum ini, Rosland memberitahu mahkamah bahawa dia tidak pernah mengabaikan nafkah terhadap isteri pertama dan anaknya meskipun sedang melalui perbicaraan kes nusyuz.

Rosland memfailkan nusyuz terhadap Adibah selepas dikatakan keluar rumah tanpa keizinan pada 24 September 2021.

Rosland sebelum ini memfailkan cerai terhadap Adibah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 7 April lalu mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Adibah menolak permohonan cerai yang difailkan Rosland dan mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes perceraian itu.

Kisah rumah tangga pasangan terbabit menjadi perhatian sebaik Rosland memfailkan cerai terhadap isteri pertamanya itu.

Namun, madu kepada Miera Leyana itu dilaporkan mahu terus mempertahankan rumah tangga bersama suami walaupun perkahwinan dilanda badai sejak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 3:11 PM