Silfeny bersama suaminya, Datuk Hazian Murad. Foto dari Instagram Silfeny Osman
Silfeny bersama suaminya, Datuk Hazian Murad. Foto dari Instagram Silfeny Osman
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon Datin Silfeny Osman, 31, mengaku lebih selesa hanya menggunakan gelaran itu apabila muncul pada majlis rasmi yang perlu dihadirinya bersama suami, Datuk Hazian Murad yang dikahwini pada Mac lalu.

Silfeny ditemui berkata, dia tidak pernah menyembunyikan perkahwinannya yang baru berusia empat bulan itu, namun memilih tidak mahu terlalu menguar-uarkannya di media sosial selain karier.

"Alhamdulillah, memang saya sudah berkahwin dengan lelaki pilihan, Datuk Hazian Murad pada Mac lalu. Dia (suami) berstatus duda anak satu sebelum kami berkahwin dan usia perkenalan pun sudah sembilan tahun.

"Lama sebenarnya dia sabar tunggu saya untuk berkahwin kerana selama berkawan rapat, saya akui memerlukan masa yang lama untuk membuat keputusan berumah tangga kerana sukar berjauhan dengan ibu bapa.

"Selama hidup bujang dan bekerja, saya memang tinggal bersama ibu bapa yang sudah berusia. Kedua-duanya (ibu bapa) sudah melewati umur 70 tahun dan menjadi tanggungjawab saya menjaga mereka kerana beberapa adik-beradik lain sudah berkeluarga," katanya kepada Harian Metro.

Silfeny berkata, dia mahu berbakti kepada ibu bapanya terlebih dulu selagi mereka masih hidup. Ujarnya, ketika itu dia berfikir kalau berkahwin awal bagaimana kebajikan ibu bapanya nanti. Jadi, dia perlu masa untuk buat keputusan.

Mengulas juga status Datin itu, Silfeny berkata dia berasakan gelaran berkenaan tidak perlu digunakannya ketika bekerja sebagai pelakon melainkan jika menemani suami menghadiri majlis rasmi yang ada protokol.

"Saya sudah berbincang dengan suami mengenai gelaran itu dan dia pun bersetuju jika saya tidak menggunakannya ketika bekerja. Biarlah orang dalam industri ini panggil saya dengan nama Silfeny saja, itu lebih selesa.

"Lagi pula, saya ini seorang yang ramah dan mudah mesra. Jadi, saya tidak mahu dengan adanya gelaran itu, hubungan bersama rakan pelakon lain dan kru produksi akan ada 'gap' (jurang) ketika bekerja.

"Saya nak orang di sekeliling melayan biasa saja tanpa memikirkan gelaran itu. Hormati saya seadanya dan kalau perlu menegur lakonan saya, tegurlah. Saya okay saja dan boleh menerima teguran," katanya.

Silfeny yang juga bekas pramugari, mula aktif dalam kerjaya seni lakon kira-kira lima tahun lalu selepas menyertai pertandingan pencarian bakat, Gadis Panca pada 2017.

Banyak melakonkan watak pembantu dan antagonis, Silfeny kini teruja mendapat peluang membintangi drama terbaharu, Pemburu Rahsia sebagai Detektif Fasha untuk slot Samarinda TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 2:58 PM