Roslee bersama bapanya, Mat Sentol. Foto ihsan Roslee Rashid
Roslee bersama bapanya, Mat Sentol. Foto ihsan Roslee Rashid
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Keadaan bapa saya sekarang makin uzur dan terbaring di katil kerana usianya pun sudah 90 tahun. Dia tiada kekuatan untuk bangun dan berjalan lagi. Tapi, bercakap dan makan, Alhamdulillah masih sangat berselera," kata anak pelawak veteran, Mat Sentol iaitu Roslee Rashid, 61.

Roslee dihubungi berkata bapanya sebelum ini pernah dimasukkan ke hospital di Johor akibat demam panas dan rawatan lanjutan untuk pemulihan sakit tua pada penghujung tahun lalu selama 11 hari.

"Bapa saya ketika ini memang tak boleh bangun dan terbaring di katil. Tapi, dia masih boleh bercakap dan duduk lagi. Itu pun saya kena angkat dan dudukkan dia atas kerusi roda bergerak hasil sumbangan daripada pihak Baitulmal.

"Syukur Alhamdulillah, walaupun sekarang saya tidak bekerja kerana memberi fokus pada penjagaan bapa di rumah sepenuh masa, rezeki kami tetap ada. Bapa dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

"Manakala, barangan keperluan kesihatannya seperti katil, susu formula, vitamin, lampin pakai buang dan sebagainya diperoleh daripada Baitulmal. Jadi, saya fikir apa yang diperoleh itu sudah cukup untuk kami berdua terutama keperluan bapa saya," katanya kepada Harian Metro.

Roslee juga anak kedua daripada lima beradik berkata, masih menjadi rutinnya setiap hari akan membawa bapa tersayang keluar berjalan-jalan dari jam 3 petang atau 4 petang sehingga hampir waktu Maghrib baru mereka pulang ke rumah.

"Bapa saya ini memang suka berjalan-jalan. Jadi, tiap-tiap hari saya akan bawa dia keluar sebab tak mahu juga dia hanya terbaring atas katil saja. Lagi pula, saya sudah biasa melayannya dan bawa dia keluar bersiar-siar selalu.

"Mohon doakan baik-baik buatnya. Sebagai anak, saya bersama adik-beradik lain akan terus memberi yang terbaik buat bapa kami," katanya.

Roslee berkata, pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menerusi bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Prof Dr Md Nasir Ibrahim sebelum ini juga sentiasa bertanya khabar dan ambil peduli mengenai kesihatan bapanya, termasuk menghulur bantuan.

Terdahulu, Mat Sentol atau nama sebenarnya Abd Rashid Yahaya cukup dikenali sebagai pelawak dan pelakon sejak era 1950-an. Beliau seangkatan dengan Allahyarham Wahid Satay juga rakan baiknya.

Ketika aktif berlakon, Mat Sentol yang kini menetap di Larkin, Johor pernah membintangi beberapa filem antaranya Mat Tiga Suku, Mat Bond, Mat Toyol, Mat Karong Guni dan Mat Magic.

Tidak hanya itu, seniman berkaliber tanah air ini juga turut aktif menyumbangkan suaranya dalam penyiaran iklan televisyen dan radio seperti Jojo, Tora, Ding Dang dan Apollo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 4:38 PM