Faizal Tahir rasa bersalah tak beri tumpuan mengenai harga tiket.
Faizal Tahir rasa bersalah tak beri tumpuan mengenai harga tiket.
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Penyanyi, Faizal Tahir sedar mengenai komen dan kritikan berkaitan harga tiket Konsert Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur yang dikatakan mahal.

Faizal ketika ditemui di sesi sidang media konsert itu berkata, dia juga rasa bersalah kerana tidak memberi tumpuan mengenai harga tiket itu.

"Mengenai harga, saya tak boleh nak jawab lebih-lebih. Saya serahkan 100 peratus kepada pengurusan dan penganjur. 

"Mungkin salah saya juga sebab tak ambil pusing sangat mengenai harga tiket itu.

"Kalau di saat ini, saya nak minta untuk kurangkan harga pun, ia agak sukar juga kerana membabitkan banyak perkara," katanya.

Menurut Faizal, dia bagaimanapun menyerahkan kepada penganjur yang lebih arif memandangkan mereka suka ada data dan analisa mengenai harga tiket.

"Sewaktu saya melihat senarai harga tiket itu, memang saya pun sedikit terkejut. Tapi, tak adalah sampai saya nak persoalkan sebab saya serahkan kepada mereka yang pakar.

"Seperti yang Sean Ng (penganjur) beritahu, pihaknya juga ada analisa dan data tersendiri yang menyebabkan mereka meletakkan harga tiket sebegitu.

"Sekali lagi, dari pihak saya, saya minta maaf banyak-banyak," katanya.

Sementara itu, penganjur dari JioBuddy Sean Ng memberitahu bahawa harga tiket itu bersesuaian dengan nilai tambah yang akan ditampilkan dalam konsert bertaraf premium itu. 

"Setiap kali mengadakan konsert, isu harga tiket akan menjadi bualan dan menerima komen. 

"Selepas mengkaji kandungan konsert, persembahan, lokasi acara, pentas, suara serta interaksi dengan penonton, saya boleh katakan bahawa konsert ini akan menjadi satu persembahan premium," katanya.

Konsert Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur adalah konsert sulung Faizal selepas 17 tahun berkarya di dalam industri dan orang ramai boleh mendapatkan tiket konsert bermula RM488 (platinum), RM588 (Diamond) dan RM688 (VIP) secara dalam talian, bermula hari ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 11:42 AM