MOHD Aizuddin dan Siti ketika sidang media mengenai  Konsert  David Foster & Friends anjuran PRIHATIN baru-baru ini. - FOTO Rohanis Shukri
MOHD Aizuddin dan Siti ketika sidang media mengenai Konsert David Foster & Friends anjuran PRIHATIN baru-baru ini. - FOTO Rohanis Shukri
Dayang Pretty Abbyana Datu Asis


PENGANJURAN Konsert David Foster & Friends Asia 2023 anjuran Yayasan Prihatin Nasional adalah sebagai platform bagi membantu pelajar yang memerlukan bantuan untuk mengurangkan kos sara hidup mereka di kampus.

Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin Nasional, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali berkata, penganjuran konsert itu bukan hanya bersifat komersial semata-mata tetapi juga untuk membantu komuniti dengan berkonsepkan berhibur sambil beramal.

"Sebanyak 50 peratus daripada hasil penjualan tiket ini akan disalurkan ke tabung kasih Prihatin untuk kegunaan pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan dalam kategori asnaf dan B40.

"Seperti sebelum ini, konsert yang dianjurkan sudah banyak membantu pelajar-pelajar dalam menjana pendapatan," katanya ketika sidang media Konsert David Foster & Friends Asia di ibu kota, kelmarin.

Katanya, dia berterima kasih atas pembabitan semua artis bernama besar itu untuk sama-sama mencari dana melalui jualan tiket dan menyalurkan bagi tujuan kebajikan.

KONSERT David Foster & Friends Asia 2023 menggunakan konsep berhibur sambil beramal. - FOTO Rohanis Shukri
KONSERT David Foster & Friends Asia 2023 menggunakan konsep berhibur sambil beramal. - FOTO Rohanis Shukri

Sementara itu, penganjuran konsert ini juga bakal mengukuhkan nama Malaysia di samping mampu memperkasakan pendidikan melalui usaha Yayasan Prihatin Nasional menganjurkan konsert amal antarabangsa berskala besar untuk mengumpul dana kebajikan.

Sementara itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang turut hadir berkata, ia bukanlah konsert biasa tetapi konsert amal yang dapat membantu anak bangsa untuk melanjutkan pelajaran mereka.

"Saya sangat sokong dengan idea ini kerana banyak yang sudah dilakukan oleh Prihatin Nasional untuk mengumpul dana bagi membantu mereka yang mengalami kesusahan.

"Ini adalah sesuatu yang perlu kita sokong kerana ia juga membantu anak bangsa kita juga. Bagi saya muzik ini indah kerana dalam kita berhibur kita juga dapat beramal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 6:49 AM