Ahmad Nawab ketika menerima Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (P.S.M)  daripada Al-Sultan Abdullah. FOTO BERNAMA
Ahmad Nawab ketika menerima Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (P.S.M) daripada Al-Sultan Abdullah. FOTO BERNAMA
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, gelaran ini diberikan ketika saya masih sihat dan masih ada untuk diterima," kata Tan Sri Ahmad Nawab, 91, yang menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.

Ahmad Nawab ketika dihubungi berkata, penganugerahan itu adalah satu rezeki daripada Allah buatnya.

"ini adalah anugerah daripada Tuhan yang mana, kalau Dia sudah tetapkan bahawa kita akan dapat sesuatu, makan kita akan dapat. Sebagai individu, saya akan cuba buat apa yang saya boleh untuk negara," katanya kepada Harian Metro.

Menurut komposer yang sudah menghasilkan lebih 2,000 lagu itu, kurniaan itu juga bukan saja satu pencapaian buatnya tetapi juga turut dikongsi buat peminat-peminat karya ciptaannya.

"Populariti itu adalah kerana sokongan peminat. Kalau kita seorang diri, memang tak boleh naik. Jadi, secara tak langsung, penerimaan anugerah ini juga adalah untuk peminat-peminat," katanya.

Menjadi antara pemuzik tanah air yang menerima darjah kebesaran itu, Ahmad Nawab berkongsi bahawa dia masih mengikuti perkembangan industri muzik tanah air sehingga ke hari ini.

"Saya masih lagi mengikuti perkembangan industri muzik tanah air kerana itu adalah jiwa saya. Industri kita hari ini sudah jauh berbeza berbanding zaman saya dulu.

"Orang sekarang banyak hasilkan single berbanding album. Mungkin sudah menjadi trend hari ini di mana, banyak pihak yang cuba memotong kos," katanya.

Diminta berkongsi pendapat mengenai pemuzik dan penyanyi veteran yang tidak mendapat bayaran setimpal dengan pengalaman dan perjuangan mereka dalam industri, Ahmad Nawab juga tidak menafikan perkara yang berlaku.

"Susah juga untuk saya ulas mengenai pembayaran buat artis senior yang mungkin tidak lagi setimpal dengan pengalamannya. Saya pun tak tahu, kena boleh jadi begitu.

"Mungkin kerana kualiti atau mungkin juga kerana sambutan yang kurang. Dulu, satu persembahan saja, saya dibayar RM30,000.

"Waktu itu, penganjur boleh bayar sebanyak itu. Sekarang, saya pun tak pasti sama ada masih ada orang yang akan bayar atau tidak," katanya.

Selain Ahmad Nawab, barisan selebriti tanah air yang turut menerima darjah kebesaran pada hari sama adalah Datuk DJ Dave yang menerima darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk dan seniwati, Fauziah Nawi yang menerima darjah kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 4:05 PM