Datuk Jamal Abdillah (tengah) hadir bersama peguam, Datuk Kamaruzaman Arif (dua kiri) dan rakan penggiat seni yang lain bagi mendengar Keputusan kes Prism Berhad di Mahkamah Tinggi Dagang 10 (Aras 5 Sayap Kiri), Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Datuk Jamal Abdillah (tengah) hadir bersama peguam, Datuk Kamaruzaman Arif (dua kiri) dan rakan penggiat seni yang lain bagi mendengar Keputusan kes Prism Berhad di Mahkamah Tinggi Dagang 10 (Aras 5 Sayap Kiri), Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Peguam mewakili Datuk Jamal Abdillah dan 32 penggiat seni tanah air terdiri daripada penyanyi dan pemuzik dalam isu tindakan saman terhadap Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM), iaitu Datuk Kamaruzaman Arif dari Tetuan Kamaruzaman Arif berkata, keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi pada hari ini adalah satu keputusan yang positif. 

Menurutnya, ia bukan saja memberi kebaikan secara langsung untuk ahli-ahli PRISM tetapi juga memberi satu lembaran baru ataupun 'bench mark' kepada dunia pelaku merangkumi penyanyi, pemain muzik di sebalik sesuatu produksi yang turut mendapat faedah secara tidak langsung.

"Kebenaran hari ini adalah kebenaran di bawah Seksyen 471 Akta Syarikat 2016 di mana kita boleh memfailkan tindakan untuk mengesan ke mana perginya wang royalti dan berapa dibelanjakan serta satu keputusan yang membolehkan kita untuk memanggil syarikat PRISM Berhad (sudah digulungkan) tetapi kita dah dapat kebenaran.

"Jadi kita akan mula memfailkan suatu tindakan di mahkamah untuk persoalkan dan juga mendapatkan ketelusan maklumat. Penjelasan akan diberikan di mahkamah berkenaan berapa kutipan, bagaimana pengiraan dibuat dan mengapa artis-artis tidak mendapat bayaran. 

"Kita tahu wang ini telah pun dikutip terutama pada 2017, 2018 dan tahun-tahun seterusnya tiada maklumat sama ada wang ini telah dikutip atau tidak. Jadi keputusan hari ini sangat menggembirakan. Ia satu suntikan yang baru kepada dunia hiburan," katanya ditemui pada sidang media di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini. 

Menurutnya, mereka akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap PRISM Berhad secepat mungkin bagi mengetahui bagaimana pengiraan royalti dibuat kerana ia membabitkan wang amanah

"Maklumat yang kita ada sangat terbatas dan kita perlukan sedikit masa untuk membuat satu tindakan. Walau bagaimanapun, melalui afidavit balasan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia, mengatakan bahawa mereka tidak bertanggungjawab dan yang sepatutnya dipertanggungjawabkan ialah Music Right Malaysia (MRM). 

"Kita tahu MRM juga telah digulung dan dibubarkan. Jadi saya tak boleh nak bagi satu jawapan sekarang. Tetapi kita akan merangka satu pelan. Apabila kita failkan pasti ia akan jadi satu yang boleh mengubah landskap dari segi pengagihan. 

"Sebabnya kita tak tahu bagaimana pengagihan dibuat. Contohnya beberapa artis, lagu diputarkan tapi bila tengok senarai tak layak dapat royalti walau seringgit pun. Ada pula yang dapat RM5,000 dan bagaimana pengiraan itu dibuat," katanya. 

Pada 13 September 2022, seramai 30 penggiat seni memfailkan satu notis usul berserta afidavit sokongan bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi di sini untuk memfailkan saman menuntut pembayaran royalti daripada PRISM Berhad selaku badan berlesen yang mengutip royalti antara 2017 sehingga 2021.

Tindakan itu julung kali dibuat penggiat seni tanah air, sekali gus melambangkan penyatuan dalam menuntut hak di bawah Akta Hakcipta 1987.

Di bawah Seksyen 3 Akta Hakcipta 1987, penggiat seni dikategorikan sebagai pelaku yang layak untuk menuntut hak royalti terhadap persembahan muzik seni mereka berdasarkan perundangan.

Artikel 3.2, Bab 6 Perlembagaan PRISM Berhad menyebut bayaran royalti pelaku hendaklah diagihkan sekali setahun. 

Namun, antara 2017 sehingga 2021, tiada sebarang bayaran royalti dibuat kepada artis sehingga kini walaupun sudah dituntut.

Bagaimanapun selepas penggiat seni memfailkan tindakan ini di mahkamah, barulah pembayaran royalti pada 2018 mula dibayar kepada sebahagian ahli PRISM yang terbabit. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 5:50 PM