RAHIM Maarof
RAHIM Maarof
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi rock popular, Rahim Maarof, 68, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh Mac lalu akibat darah tinggi kini mula menunjukkan perkembangan positif selepas dibenarkan pulang ke rumah.

Anak kedua Rahim, Jasmin Rayhan ketika ditemui berkata, bapanya kini perlu menjalani beberapa sesi rawatan susulan di HSB.

"Sekarang, ayah sudah dibenarkan pulang dan berehat di rumah. Pada masa sama, dia juga menjalani proses rehabilitasi sebab perlu melatih semula pergerakan fizikal serta pertuturannya.

"Perlu menjalani tempoh berehat yang agak panjang, saya harap ayah akan kembali pulih sepenuhnya," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai punca tekanan darah tinggi bapanya naik mendadak sehingga terpaksa ditahan di hospital, Jasmin berkata, ia berpunca daripada jadual rehat dan pemakanan yang tidak teratur.

"Ayah saya jenis orang yang bekerja kuat. Jadi, mungkin disebabkan jadual rehat dan makannya tak teratur, ia mengganggu tekanan darahnya.

"Dalam keluarga kami, memang tak ada lagi anggota keluarga yang menghidap sakit begini. Jadi, memang satu kejutan besar buat kami sekeluarga apabila ayah diserang sakit itu," katanya.

Semalam, Jasmin mewakili Rahim untuk menerima Sumbangan Rahmah Industri Muzik bernilai RM2,000, di majlis ramah mesra artis bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Salahuddin Ayub yang dilancarkan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

Sumbangan Rahmah Industri Muzik mendapat sokongan pembiayaan daripada Public Performance Malaysia Berhad (PPM) dengan pembiayaan tahunan sebanyak RM100,000.

Selain Rahim, sembilan lagi artis veteran turut menerima sumbangan berkenaan iaitu Ibnor Riza, Zaiton Sameon, Ali XPDC, Sazali P Ramlee, Datuk Ooi Eow Jin, Ben Nathan, Huang Jun Tian, Zaleha Hamid dan Shima.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 5:35 PM