Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Peluang berduet bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi antara momen terindah penyanyi, Zaki Yamani ketika Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di pekarangan Dewan Al Muktafi Billah Shah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, semalam.

Zaki yang juga anak kepada Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah sama sekali tidak menyangka dapat berduet bersama pemimpin nombor satu negara walaupun menyimpan hasrat untuk menyanyikan lagu Azizah bersama Anwar.

Menurut penyanyi berusia 17 tahun itu, usahanya menghafal lagu itu selama dua jam membuahkan hasil apabila berkesempatan menyanyi bersama Perdana Menteri.

Katanya, dia sedia maklum bahawa Perdana Menteri dan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyukai lagu Azizah.

"Jadi saya memang bersungguh-sungguh sangat untuk menghafal lagu itu dan saya mengambil masa dua jam untuk menghafal.

"Sebenarnya, sebelum raptai memang berharap dapat menyanyi bersamanya sebab saya dan keluarga memang sudah lama mengikuti perkembangan dan menyokongnya.

"Apabila saya dapat menyanyi bersamanya, ia satu kenangan yang sangat indah bagi saya dan Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur dan gembira," katanya.

Terdahulu, aksi Perdana Menteri mendendangkan lagu Azizah bersama Zaki menggamatkan majlis berkenaan.

Suasana menjadi lebih meriah apabila ia turut dinyanyikan lebih 15,000 pengunjung yang membanjiri pekarangan Dewan Al Muktafi Billah Shah UniSZA, di sini, ketika majlis berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 1:02 PM
ZAKI Yamani gembira apabila berpeluang berduet bersama Anwar ketika Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di pekarangan Dewan Al Muktafi Billah Shah UniSZA. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
ZAKI Yamani gembira apabila berpeluang berduet bersama Anwar ketika Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di pekarangan Dewan Al Muktafi Billah Shah UniSZA. FOTO Zatul Iffah Zolkiply