Aliff Syukri ketika menyampaikan lagu raya
Aliff Syukri ketika menyampaikan lagu raya

Kuala Lumpur: "Tak perlu kot nak tag tag saya dengan benda yang tak ada kaitan dengan saya… Saya dan anak-anak tiada kaitan langsung ya dengan apa-apa juga lagu," tulis Datin Seri Shahida Mohd Rashid di Instagram miliknya.

Shahida juga isteri kepada usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri membuat luahan itu sebagai jawapan kepada semua pihak supaya tidak membabitkan dirinya dalam isu lagu raya suaminya.

Malah Shahida mendakwa sudah menasihatkan suaminya berkali-kali namun masih berdegil.

"Orang lain makan nangka orang lain kena getah… Sebagai orang yang dekat, saya dah nasihat dan dia bukan budak-budak yang saya kena pantau.

"Dah besar dan boleh fikir baik dan buruk. Jangan mengganggu ketenteraman saya dan anak-anak saya," tulisnya.

Terdahulu, Aliff Syukri sekali lagi mengundang rasa kurang senang netizen selepas memuat naik klip video lagu raya berjudul Cak Kun Cak Raya.

Menerusi video itu, Aliff kelihatan menari dan diiringi sekumpulan penari. Mereka memakai set baju ketat lengkap bersamping serta songkok.

Tindakannya itu mengundang kemarahan ramai yang menganggap ia tidak menghormati kemuliaan bulan Ramadan.

Sebelum ini, Aliff pernah dipanggil memberi keterangan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk membantu siasatan berhubung klip video lagu Kelepok Raya yang dikaitkan dengan unsur bertentangan norma dan budaya tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 12:53 PM