Jaafar Onn
Jaafar Onn
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Mereka dah tak ada otak, atau mereka tergolong dalam kalangan manusia yang kurang berfikiran waras?".

Demikian kata penyanyi, pelakon dan pengacara, Jaafar Onn ketika diminta mengulas mengenai luahannya di Facebook, berkaitan pemakaian baju Melayu dengan rekaan mencolok mata. 

Secara tidak langsung, ramai juga yang mengaitkannya dengan kehadiran video muzik lagu Aidilfitri seorang pengasas kosmetik.

"Ini bukan sekadar merosakkan nilai baju Melayu, tetapi saya memang pantang kalau ada orang yang memperkotak-katikkan baju Melayu.

"Kalau ada yang singgah di rumah saya dengan berbaju Melayu tidak lengkap pun, saya akan tegur. Kenapa tak pakai bagi lengkap? Bukankah ia cantik dipakai?

"Baju Melayu adalah baju Melayu. Kenapa nak pakai ketat-ketat? Siapa dia, nak ubah-ubah rekaan baju Melayu? Kalau Power Rangers, itu lain. Ini baju Melayu budaya kita," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Jaafar, gunakan idea lain untuk mencipta kandungan digital dan memanjat populariti atau gunakan kekayaan yang sedia ada untuk benda yang lebih bermanfaat.

"Jangan fikir, kamu kaya raya, kami boleh buat sesuka hati. Kalau nak cari nama atau buat kandungan semata, tak payah buat benda-benda pelik sebab ia akan membuatkan anda tersungkur.

"Kamu dah ada nama, ada keluarga yang baik-baik. Janganlah burukkan nama mereka kerana tindakan kamu. Kamu ada kekayaan. Apa kata, gunakan untuk beramal jariah," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video dan tangkap layar video lagu Aidilfitri pengasas kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri yang dianggap keterlaluan, memaparkan pemakaian baju Melayu ketat ala pakaian renang.

Jaafar cukup dikenali sebagai selebriti tanah air yang gemar mengumpul dan memperagakan baju Melayu di pelbagai acara yang dihadirinya. Setakat ini, Jaafar sudah memiliki lebih 200 set baju Melayu dalam koleksinya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 5:26 PM