Raja Afiq
Raja Afiq
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Pelakon, Raja Afiq mengakui masih belum menerima sebarang tawaran lakonan dan tidak menafikan, ada pihak yang masih beranggapan, bentuk badannya masih gemuk.

Afiq berkata, bentuk badan yang besar sedikit sebanyak menghadkan tawaran watak yang bersesuaian untuknya sebagai pelakon.

"Setakat ini, belum ada tawaran lakonan lagi yang ditawarkan kepada saya. Mungkin sebab ada yang masih beranggapan, badan saya masih gemuk. 

"Sebelum ini, berat saya naik sehingga mencecah 98 kilogram. Bukan saya nak merendah-rendahkan bentuk tubuh gempal, tetapi, mungkin untuk saya ditawarkan watak lakonan agak terhad," katanya kepada Harian Metro.

Kini, bernaung di bawah syarikat pengurusan baharu, Afiq juga berharap agar bentuk badannya yang sudah kembali seperti di awal kemunculannya dapat membawa lebih banyak rezeki buatnya dalam industri.

"Sekarang, berat badan saya dan turun kembali kepada 71 kilogram, yang mana, lebih kurang sama dengan berat saya ketika membintangi drama bersiri Sayangku Kapten Mukhriz.

"Jadi, dengan bernaungnya saya di bawah naungan syarikat pengurusan baharu, harapan saya, semoga ada rezeki untuk saya," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 4:49 PM