Aliff Syukri menyampaikan lagu raya Cak Kun Cak Raya
Aliff Syukri menyampaikan lagu raya Cak Kun Cak Raya
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pendakwah bebas Syed Mohd Bakri Syed Ishak menegur tindakan usahawan sensasi Datuk Seri Alif Syukri yang seolah-olah tidak sensitif dengan kemuliaan bulan Ramadan apabila memuat naik klip video pendek lagu raya berjudul Cak Kun Cak Raya nyanyiannya di media sosial.

Syed berkata, video yang memaparkan usahawan itu terkinja-kinja bersama barisan penari dirasakan tidak sesuai pada bulan penuh kemuliaan ini dan menyeru usahawan itu untuk menghormatinya.

"Kepada Datuk Seri Aliff Syukri, kita berada di bulan Ramadan, bulan yang penuh keabdian kita kepada Allah SWT.

"Justeru itu saya rasa dengan video klip lagu Datuk Seri yang tergedik-gedik, penari latar di belakang itu sangat tidak sesuailah.

"Ini kerana, kita nak sambut Aidilfitri nanti adalah bertujuan untuk menyambut kemenangan melawan hawa nafsu, bukan sebab kita ikut hawa nafsu, tetapi kita sambut kemenangan dengan takbir, tahmid, tahlil kepada Allah SWT," katanya dalam satu hantaran video di TikTok.

Menurut Syed, dia juga turut menasihatkan agar Aliff tidak menari dalam setiap lagu yang ingin disampaikan.

"Walaupun ada orang kata tak sedap, tapi saya rasa sedaplah, ada bakat dan ada keyakinan penuh dalam diri anda. "Tapi dengan gaya penyampaian, nyanyian dan tarian terbabit sangat tidak sesuai. Ubahlah, tak payah menari pun tak apa, mennyanyi begitu pun cukuplah," katanya.

Terdahulu lagu raya terbaharu nyanyian Aliff kembali mengundang kecaman netizen selepas berkongsi sedutan lagu rayanya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Tahun lalu, Aliff dipanggil bagi memberi keterangan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di sini, bagi membantu siasatan berhubung klip video lagu Kelepok Raya yang dikaitkan dengan unsur bertentangan dengan norma dan budaya tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 5:29 PM