Rahmad Mega
Rahmad Mega
Nur Ilyanie Hanisha Hisham


Kuala Lumpur: Lagu Pejam nyanyian Rahmad Mega dipilih menjadi lagu runut bunyi (OST) drama popular, Melur Untuk Firdaus yang pernah mencetus fenomena sehingga menjadi trending di negara seberang.

Pejam hasil nukilan komposer dan penulis lirik berpengalaman, Omar K dan Ikhwan Fathana cukup sesuai dengan jalan cerita drama bersiri itu.

Suara Rahmad yang gemersik rock membuatkan lagu ini bertambah menarik serta sesuai untuk dijadikan lagu kepada drama bersiri 35 Episod, Melur Untuk Firdaus 2 yang disiarkan di slot Lestary TV3.

Lagu bergenre pop adalah kelainan dibawa Rahmad yang sudah mencipta nama sebagai penyanyi rock sejak tahun 1980-an.

Menurut Rahmad, lagu Pejam adalah genre yang di luar zon selesanya kerana beliau lebih terkenal dengan pembawaan lagu bergenre rock, pop rock dan slow rock.

Namun, kali ini beliau mencuba sedikit kelainan dengan membawa lagu bergenre pop dan amat berharap pendengar dan peminat dapat menerima perubahan genre terbaharu daripadanya.

Menurut Rahmad, lirik sentimental dan membawa maksud mendalam amat menyentuh jiwanya dalam pembawaan lagu ini.

Drama Melur Untuk Firdaus 2 arahan Zamri Zakaria dibintangi oleh Meerqeen, Anna Jobling, Eyka Farhana dan Azim Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 2:36 PM