Pengarah, Syamsul Yusof pada sidang media mengenai kemelut rumah tangganya dengan Puteri Sarah. FOTO ROHANIS SHUKRI
Pengarah, Syamsul Yusof pada sidang media mengenai kemelut rumah tangganya dengan Puteri Sarah. FOTO ROHANIS SHUKRI
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pengarah Syamsul Yusof, 39, mengakui perkahwinan keduanya dengan Ira Kazar adalah atas pilihannya sendiri, namun sedih dengan penerimaan ibunya, Datin Patimah Ismail terhadap pernikahan itu.

Bagaimanapun, dia tidak pernah berasa sakit hati dengan segala tindakan ibunya itu kerana apapun yang berlaku, Patimah tetap ibunya dan menganggap ini sebagai ujian hidup.

"Saya sudah memilih dia (Ira). Kemungkinan, apa diinginkan ibu, dia mahu saya menceraikan isteri saya (Puteri Sarah Liyana) sekarang ini. Tapi, saya tak boleh buat begitu. Saya mohon maaf kepada ibu.

"Jadi, saya tak ada pilihan sekarang ini. Insya-Allah, masa akan menentukan segalanya antara saya dan keluarga. Sekiranya agama (Islam) menetapkan bahawa meminta kebenaran ibu adalah rukun wajib untuk berkahwin, saya akan berbuat begitu," katanya ditemui pada majlis sidang media khas diadakan semalam.

Syamsul berkata, dia tetap berlapang dada dengan apa yang dilaluinya ketika ini terutama masalah rumah tangga dengan isteri pertama, Puteri Sarah Liyana yang masih lagi tidak berpenghujung apabila terlalu banyak perkara didedahkan di media sosial.

"Saya faham sebagai ibu mesti dia sangat sedih. Saya juga faham ibu terluka, tapi kalau boleh jangan dikongsikan di media sosial.

Ini bukan permainan hendak suruh sokong isteri kedua atau pertama, macam saya cakap ibu tak tahu cerita sebenar. Saya minta maaf ibu," katanya

Syamsul berkata, dia juga ada menghubungi ibunya, namun situasi hangat antara mereka masih belum reda dan perlukan masa untuk pulih lagi.

Katanya, sebagai anak dia tetap menyayangi dan menghormati ibunya itu.

"Saya masih ada menghubungi ibu, tetapi tak perlu cakap, semua orang tahu ibu marah saya. Sebagai anak, saya memang sedih, tapi tak rasa sakit hati pun.

"Ibu cakap saya kena sihir dan macam-macam lagi, tapi saya sudah buat solat istikharah. Orang cakap Ira adalah orang yang buat (sihir), tapi keputusan ini (berkahwin dua) memang saya yang pilih," katanya.

Sebelum ini, Syamsul turut memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, kelmarin.

Bagaimanapun, semalam Puteri Sarah juga memfailkan hadanah iaitu hak penjagaan anak terhadap dua cahaya mata mereka, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4, di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 11:18 AM