Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Apa yang berlaku tidak membuatkan kami patah semangat tapi mungkin rezeki kami tiada di situ dan sudah tertulis bukan untuk kami."

Demikian kata pelakon Fattah Amin berhubung pendedahan isterinya, Nur Fazura yang mendakwa wujud pecah amanah membabitkan kakitangan dalam perniagaan milik mereka.

Fattah berkata, apa yang berlaku adalah asam garam dalam perniagaan selain tidak terlepas berdepan ujian.

"Dalam perniagaan apabila diuji sebegini memang perkara normal. Kami anggap apa yang berlaku adalah satu ujian yang mana kita perlu terus pandang ke depan.

"Jatuh bangun dalam perniagaan adalah perkara biasa. Sebagai suami yang turut bersama dalam perniagaan diusahakan isteri, saya sentiasa menyokong dan menjadi tulang belakangnya, begitu juga dengan dia," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fattah, biarpun reda dengan ujian yang menimpa namun pihaknya tetap menyerahkan kes terbabit kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terperinci.

"Apabila diuji sebegini kami berdua amat tertekan termasuklah semua kakitangan. Kes ini bukan hanya membabitkan kami berdua saja, tapi semua pihak dalam syarikat.

"Selepas mendapat bukti kukuh kami tidak boleh kenakan hukuman di peringkat pengurusan saja, sebaliknya perlu buat laporan polis.

"Saya harap apa yang berlaku ini dapat dijadikan pengajaran kepada semua pihak terutama pihak pengurusan dan kakitangan supaya jangan sesekali terfikir untuk ambil duit syarikat.

"Harus diingat perkara ini membabitkan hukum halal haram. Ambil duit yang bukan hak kita, kemudian dibelanjakan untuk keluarga adalah satu tindakan yang tidak baik.

"Kena ingat juga jika ambil duit bukan kepunyaan kita bukan semudah itu saja, sebaliknya akan menjadi darah daging. Allah Maha Melihat dan setiap orang perlu fikir panjang," katanya.

Terdahulu Fazura mendedahkan wujud pecah amanah dalam syarikat yang membabitkan kakitangan perniagaan miliknya.

Enggan mengulas lanjut, Fazura berkata kes terbabit sudah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 6:18 PM