Wawa dan suami
Wawa dan suami

Kuala Lumpur: Pelakon, Wawa Zainal meminta semua pihak berhenti bertanya sama ada timbul marah atau perasaan cemburu apabila tular video temu bual yang memaparkan suaminya, pelakon Aeril Zafrel memuji perwatakan pelakon, Sophia Albarakbah, baru-baru ini.

Menerusi hantaran di Instagram Story, Wawa menjelaskan bahawa suaminya sekadar menggambarkan perwatakan rakan pelakonnya itu, yang dianggap seorang yang manja.

"Mengenai kenyataan Aeril memuji perempuan lain manja itu, saya okay saja. Dia gambarkan kawan dia sebagai orang yang bagaimana.

"Okay saja. Jadi, berhenti tanya saya 'tak marahkah?' dan 'tak terasakah?'," tulisnya.

Menurutnya, dia pada awalnya tidak menganggap itu sebagai satu isu, namun terpaksa 'merajuk' selepas beberapa ketika.

"Sejujurnya, semasa mula-mula tengok video itu, saya okay saja. Tapi, bila ramai sangat netizen membuat spekulasi, 'bini dia okaykah?', 'aku kalau laki (suami) aku puji perempuan lain ...' dan macam-macam lagi, saya terus terasa.

"Normalkah kalau aku tak rasa apa-apa tadi ya? Jadi, saya buat-buatlah merajuk sekejap!" tulisnya.

Sebelum itu, Wawa sempat berkongsi video yang dimuat naik rakannya, memaparkan dia bertanya kepada Aeril sama ada dia cukup manja atau tidak.

Terdahulu, muncul di media sosial video Aeril menjawab pertanyaan mengenai sikap dan pengalamannya bekerjasama dengan Sophia.

"Bagi saya, dia baik, lemah lembut. Perwatakannya manja. Mungkin ada yang senang jatuh hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 1:13 PM