ANGGOTA kumpulan menempuhi perjalanan panjang dan mencabar untuk melakar nama sejak 2012.
ANGGOTA kumpulan menempuhi perjalanan panjang dan mencabar untuk melakar nama sejak 2012.
Georgie Joseph


SINGLE terdahulu berjudul Kali Ini dan Pasti berjaya menempatkan nama Cherpen Band di persada muzik tanah air. Apatah lagi bila keduanya dipilih menjadi lagu tema (OST) untuk drama TV bersiri popular.

Kali Ini menjadi OST Sayangku Kapten Mukhriz manakala dan Pasti pula untuk drama Kekasih Paksa Rela.

Muzik diperjuangkan kumpulan dianggotai Nasrulhaq Shahdan atau Nemo selaku vokalis, Muhammad Syahir Muhammad Johri (Syahir - gitar), Nik Ahmad Shauqi Nik Iskandar Ariffin (Ekiey - bass) dan Muhammad Hakimi Abdul Aziz (Kimie - dram) ini berjaya menarik perhatian ramai.

Ditubuhkan sejak 2012, Cherpen Band sentiasa optimis mengetengahkan bakat dan muzik mereka sekalipun sedar persaingan band di Malaysia semakin sengit. Apa yang penting bagi mereka adalah karya dihasilkan mestilah berkualiti dan mampu diterima baik.

Selepas lama tidak muncul dengan karya terbaharu, kumpulan ini kembali melancarkan single berjudul Lepaskan ciptaan mereka sepenuhnya. Single berentak pop rock moden itu diterbitkan syarikat rakaman Seventeen Eleven Music.

Nemo berkata, Lepaskan mengisahkan percintaan yang tidak kesampaian.

Menurutnya, pandemik menjadi antara kekangan kenapa mereka ambil masa tampil dengan karya baharu.

"Pendek kata, lagu ini untuk orang yang nak 'move on' selepas putus cinta. Nak tak nak kita terpaksa terima hakikat. Dalam dunia dan kehidupan ini, pasti ramai yang pernah lalui situasi ini. Lagu ini sesuai untuk orang yang tengah 'broken' dan patah hati.

"Tetap kekal muzik pop rock, kami sendiri cipta lagu ini manakala liriknya ditulis Shahir. Sebenarnya, rakaman lagu ini dibuat pada Ogos 2021. Tapi kerana pandemik dan masa itu masing-masing jauh jadi ditangguh dulu pelancarannya," katanya.

Apapun, sekarang adalah masa yang sesuai untuk mereka buat kemunculan semula. Sebelum ini, ramai tahu lagu-lagu Cherpen Band mendapat sentuhan komposer ternama, Hang Nadim atau Akim Ahmad namun kini bertukar angin.

"Semua orang tahu karyanya memang padu tapi untuk lagu terbaru ini 100 peratus ciptaan kami sendiri. Orang yang mengikuti kami dari dulu akan tahu perbezaan dan keunikan itu. Tapi untuk yang tak tahu, mereka kena dengar single terbaharu kami ini," katanya.

CHERPEN Band ambil masa lama hasilkan single Lepaskan ekoran kekangan waktu.
CHERPEN Band ambil masa lama hasilkan single Lepaskan ekoran kekangan waktu.

Paling utama, Nemo sifatkan Cherpen Band kini lebih matang dari segi susunan muzik.

Menurutnya, mereka mengambil tempoh yang agak lama untuk menghasilkan single Lepaskan disebabkan kekangan waktu.

"Ambil masa lama itu sebab ada kekangan masa kerja waktu itu. Tapi taklah lama sangat. Kami ada juga keluarkan single yang berjudul Esok sebelum ini tapi masa itu orang kata macam kami bereksperimen sikit dengan genre muzik baharu diketengahkan.

"Peminat belum boleh menerima genre muzik yang kami bawa ketika itu. Lagi satu kekangan terbesar adalah disebabkan kedatangan pandemik jadi terbantutlah semua kerja. Kami juga duduk jauh, ada di Johor dan ada di Kelantan.

"Itu yang buat kami susah sikit untuk bergerak laju. Tapi untuk kali ini, kami kembali kepada muzik Cherpen Band yang diterima ramai", katanya.

Sebenarnya lagu Lepaskan sudah lama mereka peram. Namun sekarang masa yang sesuai untuk keluarkan single terbabit dan mereka sudah mula kembali 'bernafas' dalam industri.

Menariknya, Lepaskan juga dipilih menjadi lagu tema drama bersiri 26 episod berjudul Hati Tanpa Rasa di TV3 terbitan Creative Skill Solution serta lakonan Redza Rosli dan Scha Elinnea.

Menurut Nemo, Cherpen Band melalui fasa dan perjalanan agak panjang serta mencabar untuk mencipta nama. Sejak 2012 sampai sekarang ini, perjalanan mereka tidak mudah. Ada sahaja cabaran perlu diharungi.

"Alhamdulillah, sekali lagi single terbaru kami diambil sebagai OST sebuah drama yang sedikit sebanyak membantu kami atasi cabaran untuk menempatkan band kami dan lagu terbaru. Apapun, kami perlu sentiasa bekerja keras dan tak ambil mudah cabaran untuk dikenali ramai.

"Tipulah kalau kata tak nak orang kenal anggota-anggota Cherpen Band. Bagaimanapun, kami tahu bukan mudah untuk dikenali ramai. Sampai sekarang ini pun, kami masih berusaha keras menempatkan diri dalam gelanggang seni," katanya.

Pastinya, Nemo berharap lagu terbaru Cherpen Band mampu jadi siulan ramai dan senarai main wajib untuk semua pendengar.

"Harapnya, dapatlah diterima ramai kemunculan semula Cherpen Band ini sebab sudah lama sangat terperap. Untuk strategi promosi, kami tak buat benda pelik-pelik sangat. Kami keluarkan lagu macam biasa saja di semua platform digital dan YouTube.

Sejak dikeluarkan, single Lepaskan mendapat sambutan baik pendengar dan kini berada di dalam Top 30 carta Era 40 dan Top 40 carta Suria Top 40.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 6:20 AM