RESTU bakal tampil dalam Konsert ST12 Reunion -20 Tahun Charly Berkarya di Axiata Arena Bukit Jalil.
RESTU bakal tampil dalam Konsert ST12 Reunion -20 Tahun Charly Berkarya di Axiata Arena Bukit Jalil.
Ridzuan Abdul Rahman


BARANG kali membesar dalam keluarga berdarah seni membuatkan ramai berfikir dia tidak berdepan laluan sukar untuk membina nama dalam industri muzik.

Hakikatnya penyanyi Indonesia, Restu Van Houten, 17, selesa berdikari tanpa perlu bergantung kepada populariti bapanya yang juga penyanyi Setia Band, Charly Van Houten.

Baginya, itu memberikan lebih kepuasan kerana dapat berdikari dan menempuhi cabaran tersendiri.

Restu atau nama sebenarnya, Mohammad Restu Gibran Van Houten adalah anak sulung penyanyi Setia Band itu bersama isterinya, Shinta Regina.

Dia yang dilahirkan pada 24 September 2005 mengakui didedahkan dengan muzik sejak kecil.

Restu sering melihat bapanya menyanyi dan berkarya, malah kerap menemani Charly yang juga bekas penyanyi ST12 itu ke konsert.

"Membesar dalam kalangan pemuzik membuatkan darah seni turut mengalir dalam diri saya. Namun, ayah tidak pernah memaksa saya mengikut jejaknya.

"Namun, saya akhirnya membuat pilihan untuk bergerak sebagai pemuzik secara profesional. Ia pilihan sendiri, tiada paksaan daripada sesiapa," katanya.

Menurutnya, walaupun tidak dibimbing secara berterusan, bapanya sentiasa mendokong apa juga usaha yang dilakukannya.

Malah, untuk single sulungnya, Saranghaeyo yang diperkenalkan pada 25 Mac tahun lalu, bapanya bertindak sebagai penerbit di samping KGS M Ipul.

"Ayah adalah pendukung terbesar saya. Dia sering menitipkan pesanan supaya saya fokus dan terus berkarya walaupun nanti perjalanan saya berdepan dugaan serta rintangan.

"Karya ayah banyak mempengaruhi kerana sejak kecil saya sudah 'didoktrin' dengan muzik yang dibawanya bersama ST12 dan Setia Band. Namun, saya juga punya kecenderungan dan rujukan muzik yang tersendiri. Itu yang cuba saya gabungkan dalam karya yang saya hasilkan," katanya yang memperkenalkan single kedua, Jangan Ada Kata Pisah pada November tahun lalu.

Restu yang bernaung di bawah syarikat rakaman berpengaruh, Trinity Optima berkata, dia hanya mencuba nasib apabila mengajukan karya yang dihasilkannya kepada syarikat rakaman terbabit.

HADIR dengan single kedua berjudul Jangan Ada Kata Pisah.
HADIR dengan single kedua berjudul Jangan Ada Kata Pisah.

"Alhamdulillah ia diterima biarpun terpaksa menunggu agak lama. Hampir setahun saya menanti sebelum mendapat respons daripada syarikat rakaman. Bersama mereka, saya ingin mencuba sesuatu yang baharu dan membentuk identiti muzik Restu Van Houten sendiri tanpa dipengaruhi penyanyi sedia ada," katanya.

Bercerita mengenai sisi peribadinya, anak sulung daripada dua beradik ini mengakui, ketika kecil dia agak pemalu dan suka menyendiri. Sifat itu berlanjutan sehingga dia memasuki sekolah rendah.

Restu meminati muzik, namun bakatnya tidak ke arah itu. Dia sebaliknya lebih aktif dalam bidang sukan seperti bola sepak, renang dan badminton.

"Apabila memasuki sekolah menengah, saya memutuskan untuk ke pesantren Darussalam. Di situ, saya belajar ilmu agama dan mengenal erti kehidupan.

"Malah, di situ juga hasrat untuk bermuzik turut bertunas. Saya mula menghasilkan lagu, belajar hal berkaitan rakaman sehingga saya memasuki sekolah tinggi.

"Saya seterusnya mengambil keputusan pulang ke Bandung kerana situasi ketika itu tidak kondusif disebabkan pandemik Covid-19. Saya cuba buat lagu dan akhirnya terhasil Saranghaeyo. Apabila diajukan kepada Trinity Optima, Alhamdulilah diterima," katanya.

Restu bertuah apabila diberi penghormatan untuk turut sama beraksi dalam Konsert ST12 Reunion -20 Tahun Charly Berkarya yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 11 Mac depan.

Bakal beraksi bersama Firman Siagian dan dua penyanyi terkenal Malaysia, Jaclyn Victor serta Ezad Lazim, konsert itu kata Restu, menjadi titik permulaan untuk dia memperkenalkan bakatnya kepada peminat muzik di negara ini.

"Saya berharap karya saya dapat dinikmati dan diterima penggemar muzik di Malaysia. Ia ruang terbaik untuk saya membuktikan bakat.

"Sebagai penyanyi baharu, saya terpacu dan bersemangat memberikan karya terbaik untuk dinikmati pencinta muzik di dalam dan luar Indonesia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 6:13 AM