SEARCH yang diketuai Amy dan Nasir bersama Man Kidal dan Hillary.
SEARCH yang diketuai Amy dan Nasir bersama Man Kidal dan Hillary.
Ridzuan Abdul Rahman


Asalnya daripada beberapa pemuzik yang membentuk sebuah kumpulan. Namun, apabila berlaku perselisihan faham, anggota yang keluar masih menggunakan nama sama bersama anggota baharu.

Masing-masing mengaku berhak menggunakan nama itu dengan memberikan pelbagai fakta untuk menyokong.

Inilah senario yang terjadi dalam industri muzik tanah air. Kemelut pahit ini membabitkan kumpulan popular atau legenda negara seperti Search, XPDC, Ukays (UK's) dan beberapa lagi.

Yang 'kelakarnya', situasi ini hanya berlaku di Malaysia dan sering menimbulkan kekeliruan peminat.

Bukan saja kumpulan itu yang terbahagi dua, malah peminat tegar mereka turut berpecah dua dan berperang sesama sendiri di media sosial.

Mengimbas kembali, ada di antara kumpulan ini bukan bergabung secara semula jadi sebaliknya dibentuk syarikat rakaman memandangkan trend semasa penerimaan peminat yang baik terhadap artis berkumpulan.

Dalam beberapa kenyataan di media sebelum ini, ada di antara kumpulan terbabit yang bersikap terbuka dalam perkara ini selain menganggap ia rezeki masing-masing.

Bagi pemain gitar, Noordin Mohd Taib, Search yang dinaungi bersama adiknya, Kid tidak pernah menafikan kewujudan Search yang diterajui Datuk Amy (penyanyi), Nasir (bass), Hillary Ang (gitar) dan Man Kidal (gitar).

"Kami tidak pernah menolak mereka (Amy dan Nasir). Kita tak tahu akan datang jadi apa, kita berharap sajalah. Kami terpaksa teruskan Search kerana kumpulan ini masih ada peminat. Rugi kalau kita tak teruskan," katanya yang menggunakan Denden sebagai penyanyi, Yan (bass) dan Minn (dram) sebagai anggota undangan.

SEARCH yang diterajui Noordin (tiga dari kanan) bersama Kid (dua dari kiri).
SEARCH yang diterajui Noordin (tiga dari kanan) bersama Kid (dua dari kiri).

Noordin berkata, dia sebenarnya tidak terfikir untuk mengambil Search menjadi miliknya dan perkara ini berlaku disebabkan pengunduran Amy daripada kumpulan mereka pada 2020.

"Saya bukan nak nama tapi hanya nak jadi pentadbir Search disebabkan selama ini pengurusan tidak bagus. Kami tidak mahu bergaduh dan minta semua pihak mendoakan yang baik-baik dalam isu ini. Mereka nak gunakan nama itu okeylah. Kita fikir yang baik-baik, tiada masalah pun. Doa yang baik-baik. Jangan timbulkan isu," katanya.

Sementara Nasir, menerusi kenyataannya berkata, tindakan mereka mewujudkan Search dilakukan dengan begitu cermat sekali.

"Kita tidak mahu buat sebarang tindakan yang boleh memberikan implikasi kepada Search nanti. Gabungan semula Amy, Hillary, Man Kidal dan saya ini bukanlah dibuat secara suka-suka. Tapi, ia adalah disebabkan legasi Search itu sendiri. Kita tidak mahu legasi Search berhenti.

"Kita pun tidak mahu 'kutuk' kawan-kawan dan tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Mereka juga adalah kawan kita dan pernah bersama-sama dengan kita. Cuma jodoh kami hanya sampai setakat itu saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 6:30 AM