RYAN bersyukur apabila dapat mencipta kejayaan baharu dalam kerjaya seninya apabila dilantik menjadi duta.
RYAN bersyukur apabila dapat mencipta kejayaan baharu dalam kerjaya seninya apabila dilantik menjadi duta.
Najiy Jefri


Perjalanan seni selama 13 tahun bukan satu tempoh yang singkat, sebaliknya pelbagai ujian dan cabaran sudah ditempuh Ryan Deedat, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Salimah ini.

Bagi Ryan, dia akur apabila namanya masih belum cukup kuat dan kukuh dalam industri seni hiburan tempatan.

Bagaimanapun, Ryan tidak sesekali patah semangat sebaliknya akan terus berusaha untuk menghasilkan karya yang terbaik sekali gus mencipta fenomena pada tahun ini.

"Tahun ini saya sudah menyusun beberapa perancangan untuk kerjaya seni. Saya tidak nafikan, kerjaya nyanyian tidak serancak rakan-rakan lain.

"Tapi saya tidak pernah iri hati dengan rezeki yang mereka peroleh sebab saya percaya masa yang tepat akan selalu datang dan rezeki ada di mana-mana.

"Saya sasarkan mempunyai satu lagu popular tahun ini. Saya tidak boleh nak menjanjikan apa-apa tapi saya percaya selagi saya terus bersemangat dan mempunyai rakan-rakan yang hebat dalam industri seni tiada apa yang mustahil," katanya.

Menurut Ryan, walaupun namanya tidak popular seperti penyanyi lain, namun dia bersyukur apabila kerjaya seni selama 13 tahun ini bersih tanpa sebarang kontroversi panas.

"Tetapi apabila nama terlalu bersih juga ada kekurangan. Sebagai contoh, nama saya akan lambat dikenali sebab kurang cerita kontroversi.

"Cuma dari sudut positif saya bersyukur tiada dugaan hebat yang perlu ditempuh dalam bidang seni. Lagipun saya ingin menjaga nama baik keluarga

"Walaupun nama tidak meletup saya tidak pernah ambil pusing sebab nak cakap fasal tuah dan rezeki hanya Dia yang lebih tahu.

"Tapi entah kenapa tahun ini memberi satu petanda baik apabila tiba-tiba saja ada rezeki yang diberikan. Saya dilamar menjadi duta bagi syarikat barangan perkahwinan dan ia adalah permulaan baik pada 2023," katanya.

Menurut Ryan, sekiranya rezeki duta itu hadir lima tahun lalu, mungkin dia sukar memberikan fokus kerana menjaga arwah ibu yang terlantar sakit.

"Kadangkala kejayaan ini tidak akan berhasil kalau kita sendiri tidak berusaha. Jadi tahun ini saya nekad untuk terus berdisiplin dan pastikan setiap karya yang dihasilkan akan diterima baik pendengar," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ryan bersama pasukan JV Crafts & Gifts baru saja selesai merakamkan lagu dan video muzik berjudul Hantaran Raya sempena Aidilfitri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 6:46 AM