Lando Zawawi.
Lando Zawawi.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon, Lando masih dihubungi masyarakat di Tanjung Karang, Selangor bagi membuat aduan berkenaan jalan raya yang rosak.

Lando atau nama sebenarnya Azlan Sani Zawawi turut diminta membaiki jalan walaupun dia bukan Ahli Parlimen di situ apabila tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu di Parlimen Tanjung Karang.

"Walaupun tewas, saya masih menghargai pengundi-pengundi di sana dan kita sudah membuka satu unit Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood) di Sungai Sirih, Tanjung Karang.

"Saya pun dah serahkan dua tan 'cold mix' tar dan mereka dah banyak menurap lokasi-lokasi di sekitar kampung dan laluan utama.

"Sekurang-kurangnya kami dah kembali bertapak di sana selepas kematian Allahyarham Iqram, wakil Brotherhood yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 2018," katanya kepada Harian Metro.

Lando berkata, dia tidak mengelak dari membantu kerana berminat menjalinkan kerjasama dengan semua pihak.

"Selepas PRU-15 kita ada jalinkan kerjasama dengan Ahli Parlimen Tanjung Karang iaitu Datuk Dr Zulkapferi Hanafi dari Perikatan Nasional.

"Malah anak kepada bekas Ahli Parlimen di situ, Tan Sri Noh Omar dan calon Bebas, Mohd Rosni Mastol pun hubungi saya untuk melaksanakan program-program bersama dan saya sangat gembira.

"Saya tidak berpolitik di Tanjung Karang. Saya gembira apabila calon yang tidak memang pun bersemangat nak memajukan tempat ini. Saya sangat bersyukur dengan perkembangan ini," katanya.

Menurutnya, Tanjung Karang dekat di hatinya kerana ia adalah rumah kedua berikutan jarak dengan kediamannya di Puncak Alam juga sangat dekat.

"Saya pun dah mula jatuh cinta dengan kecantikan dan lokasi menarik di situ," katanya yang membayangkan akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pula selepas ini.

Lando yang bertanding sebagai calon Gerakan Tanah Air (GTA) di bawah Pejuang berjaya berjaya memperoleh 3,557 undi dalam PRU-15, 19 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 2:52 PM