Hafiz selesa terima cadangan klien muziknya.
Hafiz selesa terima cadangan klien muziknya.
Syafil Syazwan Jefri


SEBAGAI penerbit lagu, tentunya pelbagai cabaran perlu dihadapi terutamanya, untuk membentuk mereka yang bukan penyanyi, tetapi ingin menyanyi.

Bagi penyanyi, komposer dan penerbit, Hafiz Hamidun, dia juga kerap kali didatangi oleh pengasas produk atau jenama, yang ingin menjadi penyanyi.

Namun, sebagai pengkarya, itu semua diselesaikannya dengan teratur dan penuh rasa hormat.

"Saya pernah bekerjasama dengan beberapa pengasas produk atau ahli perniagaan yang mana, ingin menyanyikan lagu tema jenama mereka atau lagu komersial.

"Mungkin, ada satu ketika di mana menjadi trend apabila pengasas produk atau ahli perniagaan menyanyikan sendiri lagu tema jenama mereka.

"Bagi saya, kalau klien datang bertemu untuk berbincang, saya sebagai penerbit menghormati kehendak mereka," katanya.

Walau bagaimanapun, Hafiz tidak menafikan bahawa tugasnya dalam penerbitan lagu akan lebih mudah sekiranya turut dicadangkan nama penyanyi profesional.

"Contohnya, baru-baru ini, saya ada hasilkan lagu tema untuk jenama pakaian Munawwareen. Pemiliknya, Datin Aliza Abu Bakar datang bertemu saya dan mencadangkan nama Ernie Zakri sebagai penyanyi.

"Bagi saya, ini satu peluang berharga dan saya juga berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Ernie memandangkan kita semua sedia maklum bahawa dia adalah penyanyi yang pernah menerima anugerah.

Apabila Datin beritahu, mahukan Ernie sebagai penyanyi lagu rasmi jenamanya, saya anggap itu sebagai cadangan dan dia tahu apa yang dia mahukan.

"Kerja saya untuk terbitkan lagu ini juga jadi lebih mudah kerana Ernie adalah penyanyi profesional," katanya.

Menurutnya, ini adalah satu tindakan atau perkara yang perlu dijadikan kebiasaan.

"Ini satu benda yang kita kena jadikan kebiasaan. Kehebatan ahli perniagaan adalah dalam bidang perniagaan.

"Jadi, kalau mereka nak bekerjasama dan berikan cadangan nama penyanyi, saya sebagai penerbit pun rasa gembira," katanya.

Terbaharu, Hafiz kini sedang melakukan persiapan untuk konsert REUNIC Live in Concert - See You Di IPT The Musical (The Finale) yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Oktober 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 6:22 AM