Rozita Ibrahim
Rozita Ibrahim
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Usahawan yang juga ibu kepada Datuk Seri Aliff Syukri, Rozita Ibrahim malu untuk membuat kandungan luar batasan di media sosial demi mencari populariti seterusnya menaikkan jualan produknya.

Rozita, 60, atau mesra disapa Bonda Rozita berkata, dia juga tidak mahu memalukan anak-anaknya dengan tindakannya itu selain membuat dirinya menyesal dengan perbuatan itu di kemudian hari.

"Kalau awak anak saya, malu tak ada emak macam itu? Sudah tentu malu dan kalau kita sebagai anak malu, dan emak tidak malu, itu bukan satu yang bagus untuk generasi muda.

"Saya pula bersaing dengan orang yang mempunyai akademik dan mereka tahu saya tidak berpendidikan. Jadi di mana saya hendak letak maruah? Sudahlah bodoh, tidak sekolah dan tunjuk perangai bodoh.

"Itu bukan setakat bodoh tapi bodoh dan bangang. Nampak macam bahasa 'laser' tapi itu fakta," katanya.

Bonda Rozita ditemui selepas menganjurkan Bonda Fiesta Vaganza selama dua hari bermula Sabtu lalu yang dihadiri lebih 3,000 pengunjung di Batang Kali, Selangor.

Menurutnya yang juga pengasas Sendayu Tinggi, Jamu Ratu Malaya dan Deratu, perkongsian di media sosial sering memberi inspirasi kepada ramai wanita yang ingin menjadi ahli perniagaan yang berjaya sepertinya.

"Sayang kerana kita orang Melayu dan beragama Islam dan jangan rosak nama bangsa kita, hanya kerana duit yang sekeping kertas. Bila hari tua, awak akan malu tengok aksi awak semula.

"Saya tidak cakap orang lain sebab keturunan saya pun buat perkara yang sama juga. Walaupun niat mereka menghiburkan tetapi kalau lelaki elok lagi, tapi kalau kita wanita? Orang hina Melayu, Islam buat macam ini. Malu saya dan jangan kerana duit kita jadi hamba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 4:16 PM