Fazura ketika bercuti bersama keluarganya di Langkawi.
Fazura ketika bercuti bersama keluarganya di Langkawi.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: "Apa perasaan anda jika ada penumpang wanita lain mengherdik 'kalau anda semua tak boleh kawal anak-anak, mereka tak patut terbang!', sambil menunjuk-nunjuk jari ke arah anak anda?"

Itu soal pelakon Nur Fazura menerusi laman sosial bertanyakan pendapat netizen mengenai tindakan penumpang kapal terbang mengherdik ibu bapa yang dianggap tidak mengawal anak-anak kecil.

Menerusi perkongsian yang sama, Fazura, 39, berkongsi paparan gambar percutiannya sekeluarga, namun apa yang menarik perhatian adalah luahan hati isteri kepada pelakon Fattah Amin di ruang keterangan gambar.

"Nak tanya ibu bapa seluruh Malaysia. Pernah tak anda semua bawa anak-anak kecil naik kapal terbang dan mereka gementar dalam perjalanan di udara?

"Anak-anak kecil, macam Fatima baru nak masuk dua tahun. Sepupu Fatima pula anak syurga, autistik," tulisnya.

Fazura berkata, bukan mudah untuk ibu bapa mengawal anak-anak kecil apatah lagi kanak-kanak istimewa yang gementar ketika menaiki kapal terbang.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada insiden berkenaan terjadi kepada keluarga Fazura yang baru saja pulang dari Langkawi sempena menyambut ulang tahun kelahirannya.

Rata-rata netizen turut berkongsi pengalaman berdepan dengan insiden yang sama, malah pelakon Catriona Ross juga memahami situasi itu memandangkan dia mempunyai anak autistik.

Sementara itu, Fazura juga mendoakan agar semua ibu bapa diberikan kesabaran dalam menjaga anak-anak.

"Semoga Allah SWT memberikan kesabaran kepada semua ibu bapa terutama ibu dalam menjaga amanah-Nya. Amin," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 4:05 PM