Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi Adira Suhaimi selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.5 kilogram menerusi kaedah pembedahan sekitar 1 tengahari tadi.

Adira, 31, meluahkan rasa bersyukur di atas kelahiran cahaya mata keempatnya. Kongsi Adira, dia dan bayi berada dalam keadaan sihat dan masih lagi berada di hospital ketika dihubungi Harian Metro.

"Alhamdulillah.. pembedahan berjalan dengan lancar. Saya masih berada dalam keadaan mamai kesan bius pembedahan yang dijalani tengahari tadi.

"Saya dan bayi berada dalam keadaan baik. Mujur ibu juga turun ke Kuala Lumpur bagi membantu menguruskan kami.

"Terima kasih di atas doa semua. Kini fokus untuk berpantang saja," katanya.

Terdahulu, pelatun lagu Ombak Rindu itu berhasrat untuk 'menutup kilang' selepas kelahiran cahaya mata keempatnya.

Selain itu, kehamilan ini juga membuktikan rumah tangga dibinanya bersama Datuk Seri Adnan Abu di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 masih utuh, biarpun hubungan pasangan ini pernah dilaporkan berantakan.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Anggrek, 5, Asan, 4, dan Anggun, 3.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 7:10 PM