Atiq Azman.
Atiq Azman.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon Atiq Azman menjelaskan sukar untuk membuang terus hobi yang mendalam terhadap motosikal, namun mengambil pendekatan untuk lebih berhati-hati ketika menunggang.

Biarpun pernah terbabit dalam kemalangan sehingga mengalami kecederaan bahu sekitar Mac lalu, Atiq mengakui tidak serik untuk membawa motosikal.

"Trauma ada tapi tak sangat la. Saya tetap main motor lagi cuma akan lebih berhati-hati. Ayah ada juga larang saya main motosikal dan kawan-kawan pun pesan benda sama.

"Tapi saya tetap nak main lagi… bukan nak main saja-saja atau jadi mat rempit. Tapi ini minat saya dan tak akan pernah berhenti," kata Atiq.

Sebelum ini, Atiq cedera pada bahagian bahu kirinya selepas terbabit dalam kemalangan motosikal berkuasa tinggi ketika menuju ke Bukit Fraser pada 11 Mac lalu.

Ketika kemalangan Atiq atau nama sebenarnya Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah, 22, bersama rakan artis penyanyi Tajul dan pelakon Afieq Shazwan berkonvoi motosikal berkuasa tinggi.

Tambah Atiq, ini adalah kali kedua dia mengalami kemalangan motosikal berkuasa tinggi selepas kali pertama pada tahun lalu.

Jelas Atiq, biarpun mempunyai minat yang mendalam terhadap motosikal, namun dia bukanlah seperti 'mat rempit' yang gemar mencari masalah atau mengganggu pengguna jalan raya.

"Saya selalu berkonvoi dengan kawan-kawan… macam sebelum ini kemalangan pun masa dalam perjalanan nak pergi Bukit Fraser bersama Afieq dan Tajul.

"Tapi saya nak tekankan yang saya bukan 'mat rempit' yang mengganggu pengguna jalan raya. Saya ini kira mat motor… mat rempit tu lain.

"Sebab kita pun bukan jenis cari masalah atas jalan raya. Bawa motosikal ini macam hobi untuk luangkan masa bersama kawan-kawan," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 5:27 PM