HCJ tampil versi baharu Sinarku yang dihasilkan dekad lalu.
HCJ tampil versi baharu Sinarku yang dihasilkan dekad lalu.
Georgie Joseph


Kumpulan Here Comes July (HCJ) kini tampil dengan lagu baharu berjudul Sinarku.

Lebih menarik, lagu itu sebenarnya dihasilkan sejak 10 tahun lalu dan menjadi lagu pertama mereka.

Penyanyinya, Lukman berkata, Sinarku memiliki maksud sangat istimewa dan tentunya berbeza dalam kehidupan setiap antara mereka.

Lagu itu juga disulami imaginasi mengenai bagaimana ciri-ciri pasangan hidup yang dimahukan seseorang.

"Sepanjang perjalanan kami sebagai sebuah kumpulan, lebih-lebih lagi sebagai sahabat, Sinarku memberi maksud dan pengalaman berlainan dalam kehidupan setiap antara kami.

"Kisah asal lagu menceritakan seorang yang kita suka atau 'crush' di mana kita tahu dia akan jadi pasangan kita. Tapi, pada masa sama terlalu risau untuk mendekatinya.

"Bagaimanapun, jauh di sudut hati, kita pasti bahawa kehadiran gadis itu akan melengkapkan kehidupan," katanya.

Bagaimanapun, Lukman akui interpretasi HCJ terhadap Sinarku berkembang melangkaui tempoh dekad.

"Sepanjang melalui tempoh 10 tahun, maksud lagu ini berkembang lebih lagi daripada apa yang kami interpretasikan ketika menghasilkannya. Dulu ia berkisar zaman percintaan di sekolah atau cinta monyet.

"Namun semakin meningkat dewasa, kami memberi takrifan bahawa Sinarku lebih kepada perjalanan mencari pasangan sehidup semati dan kebahagiaan bercinta bersamanya.

"Dalam lagu ini juga kami bayangkan kegembiraan dan apa yang kita akan lakukan bersama teman sehidup semati walaupun kita belum jumpa siapa orangnya," katanya.

Dalam pada itu, Lukman juga berkongsi cabaran menghasikan Sinarku.

Menurutnya, aspek penjiwaan dititikberatkan mengikut kesesuaian supaya lagu itu lebih relevan.

"Antara cabaran dilalui adalah untuk menjiwainya. Lagu ini kami dendangkan dalam pelbagai versi. Namun secara kebetulan, Sinarku masih relevan dengan kehidupan kami pada hari ini, cuma definisi Sinarku itu sahaja yang semakin berkembang.

"Versi terkini paling sempurna bagi kami kerana dari segi melodi dan liriknya secukup rasa untuk disampaikan kepada pendengar. Dalam tempoh dekad itu, kami bereksperimen dengan pelbagai versi melodi dan susunan hingga ia siap untuk dilancarkan.

"Selain itu, dengan bantuan Taja sebagai produser, kami diberi peluang untuk mencorakkan lagi kreativiti dalam rakaman lagu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 6:02 AM