RUHIL Amani pada sesi bergambar ketika latihan program Salam Dari Maya 2. FOTO Genes Gulitah
RUHIL Amani pada sesi bergambar ketika latihan program Salam Dari Maya 2. FOTO Genes Gulitah
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi Ruhil Amani Hussain, 47, mengakui masih dipanggil 'Adik' sehingga hari ini hingga dia berasakan sapaan itu semacam tidak sesuai atas faktor usia dan statusnya sebagai ibu.

Ruhil ketika ditemui berkata, memang sampai sekarang ahli keluarga, rakan-rakan, kenalan rapat termasuk peminatnya ada yang masih memanggil dia 'Adik' atau ditambah menjadi 'Kak Adik'.

"Perkataan 'Adik' dengan saya memang melekat sampai sekarang. Sejak dari dulu, tak pernah berubah. Saya terus dipanggil Adik' oleh mereka yang rapat dan mengenali termasuk peminat juga. Hinggakan, saya sendiri rasa macam dah tak sesuai sebenarnya.

"Malah, bagi mereka yang usianya muda daripada saya akan panggil 'Kak Adik' pula. Jadi perkataan 'Adik' itu dah sinonim dengan saya kerana mereka memang selesa memanggil begitu," katanya ketika ditemui pada sesi latihan dan rakaman program Salam Dari Maya 2 yang akan ditayangkan secara virtual di platform YouTube.

Mengulas mengenai karier nyanyiannya, Ruhil yang menyepi selama 17 tahun kerana menguruskan keluarga berkata, dia bercadang melancarkan single baharu tahun depan dan mahu berkongsi karya lagu yang segar dengan peminat.

"Saya lebih memilih berkongsi lagu baharu dengan peminat berbanding merakamkan semula lagu lama seperti Kawan, Anak Dunia dan sebagainya. Bagi saya, lagu baru lebih indah. Apatah lagi, saya ada 13 buah koleksi lagu baharu dalam simpanan

  "Semua lagu ini kena dengan jiwa dan sesuai vokal saya. Jadi, sayang juga kalau tidak dirakam dan terus disimpan," katanya yang kini aktif bersenam dan dalam proses menurunkan berat badan ke tahap ideal.

Ruhil berkata, dia perlu komited jika mahu membuat 'comeback' dalam industri muzik walaupun selama ini masih tetap menyanyi dan membuat latihan vokal di rumah. 

Katanya, selama ini dia hanya tidak muncul dalam program hiburan di televisyen saja.

Ruhil menyepi dari industri muzik selepas bernikah dengan pemain gitar, pencipta lagu, penerbit album dan penggubah, Jamie Wilson. 

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ruhil Ariana Wilson, 18, dan Raayan Alexander Wilson, 11.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 2:55 PM