Billie Eilish terharu sokongan peminat. FOTO Zaaim Haris
Billie Eilish terharu sokongan peminat. FOTO Zaaim Haris
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Billie Eilish, 20, sebak melihat sokongan lebih 25,000 peminatnya pada konsert Billie Eilish Happier Than Ever The World Tour 2022 yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Eilish jelas tidak sangka dengan sokongan luar biasa serta jeritan penonton yang tak henti-henti melaungkan namanya serta bersorak setiap kali menyanyi setiap lagunya.

"Saya sayang anda semua. Saya tak jangka tenaga anda luar biasa sebegini. Walaupun pertama kali ke sini, tapi rasa macam sudah lama kenal anda semua.

"Saya bersyukur sangat ada peminat seperti anda. Anda memang buatkan kedatangan saya ke sini lebih berbaloi dan benar-benar besar maknanya," katanya.

Pada konsert berdurasi hampir dua jam itu, Eilish berjaya membuktikan dia memang penghibur kelas pertama. Energi serta penghayatannya cukup mengagumkan.

Turut diiringi abangnya, Finneas yang bermain beberapa alat muzik,  Eilish mendendangkan setiap lagu dengan sepenuh jiwa. Nyanyian secara langsungnya juga begitu mantap.

Antara lagu dinyanyikan ialah Bad Guy, Happier Than Ever, You Should See Me In A Crown, Bellyache, All The Good Girls Go To Hell, Bury A Friend, When The Party's Over, I Love You, Everything I Wanted dan banyak lagi.

Terdahulu, seawal 5 pagi peminat sudah sampai ke lokasi konsert demi menyaksikan konsert terbabit. 

Bintang pop berusia 20 tahun itu tiba Malaysia kelmarin. Fotonya berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama pasukan termasuk abangnya, Finneas turut tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 7:04 AM