AAMIR dan Kareena teraju utama filem Laal Singh Chaddha.
AAMIR dan Kareena teraju utama filem Laal Singh Chaddha.
Syafil Syazwan Jefri


FILEM: Laal Singh Chaddha

PENGARAH: Advait Chandan

PENULIS SKRIP: Atul Kulkarni

PELAKON: Aamir Khan, Kareena Kapoor, Naga Chatanya dan Mona Singh

TERBITAN: Aamir Khan Productions dan Viacom18 Studios

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

LAAL Singh Chaddha adalah antara filem Hindi yang saya nantikan kehadirannya. Sebelum pergi lebih jauh, ingin saya jelaskan bahawa saya bukan peminat tegar filem Bollywood.

Namun, ketika membaca mengenai kehadiran filem ini, lebih-lebih lagi apabila ia adalah karya yang dihasilkan semula berdasarkan filem Forrest Gump, saya sendiri ingin melihat versi India ini.

Membariskan barisan pelakon hebat seperti Aamir Khan dan Kareena Kapoor sebagai teraju utama, saya berasakan bahawa kedua-dua bintang ini cukup kuat untuk menggamit penonton ke pawagam.

Dari segi jalan cerita, ia mengisahkan mengenai Laal Singh Chaddha yang dalam perjalanan ke satu destinasi dan berada dalam kereta api.

Dalam perjalanan itu, dia yang boleh dikatakan sebagai individu istimewa berkongsi cerita kehidupannya dengan penumpang lain yang pada awalnya melihat dia sebagai seorang yang pelik.

LAAL boleh dikatakan sebagai individu istimewa.
LAAL boleh dikatakan sebagai individu istimewa.

Perlahan-lahan semakin ramai penumpang lain yang mendekati dan mendengar cerita Laal yang dilakonkan oleh Aamir ini.

Bermula dari kisah zaman kanak-kanak, Laal turut 'membawa' penumpang lain menelusuri perjalanan kehidupannya ketika remaja.

Tidak hanya itu, mereka juga berjaya menyelami perasaan cinta yang dikongsikan Laal terhadap kekasih hatinya, Rupa lakonan Kareena.

Secara peribadi, saya begitu teruja dengan jalan ceritanya di mana penonton dibawa ke setiap era, sekali gus melihat dan umpama berada dalam satu sejarah.

Rusuhan kaum, pembunuhan, peperangan, semuanya berkaitan sejarah sebenar yang berlaku di India dan kemudian direalisasikan dalam bentuk visual dalam filem ini.

Penjiwaan watak lakonan pelakon Bollywood tidak lagi perlu dijelaskan memandangkan itu menjadi kekuatan mereka sejak berzaman.

LAKONAN kedua-dua bintang ini cukup kuat menggamit penonton ke pawagam.
LAKONAN kedua-dua bintang ini cukup kuat menggamit penonton ke pawagam.

Perasaan saya saat ketika di kerusi pawagam umpama dibawa menaiki 'roller coaster' yang naik dan terjun dalam pelbagai emosi dari sedih, lucu, kecewa, marah dan sebagainya.

Lebih menarik ialah bagaimana pengarah menggarap jalan cerita di samping membawa penonton melihat sendiri kecantikan lebih 100 lokasi di India yang menjadi latar belakang filem ini.

Di India, penerimaan filem ini bercampur baur kerana ada beberapa isu boikot membabitkan filem ini kerana perihal peribadi yang membabitkan Aamir dan Kareena.

Namun, jumlah kutipannya tidak mengecewakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 6:30 AM