Janna Nick kena influenza B. FOTO Instagram Janna Nick
Janna Nick kena influenza B. FOTO Instagram Janna Nick
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Impian pelakon dan penyanyi popular, Janna Nick untuk menyaksikan persembahan penyanyi antarabangsa, Billie Eilish pada konsert sulungnya di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini tidak kesampaian apabila dia dimasukkan ke wad selepas dijangkiti influenza B, semalam.

Janna ketika dihubungi berkata, dia terpaksa melepaskan dua tiket konsert Billie Eilish Happier Than Ever The World Tour 2022 itu.

"Saya baru nak menjerit sepuas hati dan menonton konsert Billie Eilish memandangkan itu adalah konsert pertamanya di Malaysia," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Janna, keadaan kesihatannya stabil dan berharap dia pulih dengan cepat.

"Saya cuma mohon doa orang ramai supaya penyakit ini lenyap dengan segera. Saya menahan kesakitan ini selepas mengalami demam berpanjangan. Disebabkan itu, saya ditahan di wad supaya doktor dan jururawat dapat memantau keadaan kesihatan saya.

"Insya-Allah semuanya akan baik-baik saja. Doakan semoga tiada komplikasi teruk dan saya dapat kembali bekerja," katanya.

Janna berkata, dia yang sedang menjalani penggambaran drama Melastik Ke Hatimu 2 turut berasa serba salah kepada seluruh tenaga produksi dan pelakon yang terbabit kerana kami penggambaran sudah hampir tamat.

Namun, disebabkan dia mengalami masalah kesihatan, penggambaran terpaksa ditangguhkan.

"Ikutkan hati saya nak sambung saja penggambaran seperti biasa tapi bimbang kerana virus ini ada risiko berjangkit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 8:05 AM