Haqiem Rusli.
Haqiem Rusli.
Oleh Zaara Talita


Kuala Lumpur : Penyanyi Haqiem Rusli sebak apabila mengenangkan ada pihak yang ingin menabur pasir dalam periuk nasinya dengan memuat naik video negatif mengenai restoran yang diusahakan olehnya.

Haqiem turut mengambil pendekatan untuk tidak mudah 'melatah' dengan kritikan netizen yang terbabit apabila menjadikan kedainya viral sekitar Ramadan lalu.

"Apabila mengulas mengenai isu ini, saya sebak kerana mengenangkan ada yang cuba ingin menjatuhkan periuk nasi saya. Namun saya anggap ini adalah ujian buatnya.

"Jika individu itu ikhlas untuk menegur untuk penambah baikan, dia seharusnya menegur kami menerusi mesej peribadi dan sebagainya. 

"Pada pendapat saya, itu bukan medium yang betul hendak menegur. Pada saya, menegur kena ada caranya. Jika saya yang dulu, pasti saya sudah 'melatah'. Namun, Alhamdulillah… Saya bukan lagi sebegitu dan mudah untuk melantun apabila ada isu sebegini," kata Haqiem.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di Tik Tok, netizen yang mengunjungi kedai makan tersebut terpaksa makan dalam keadaan gelap serta panas.

Sementara itu, sejak mendirikan rumah tangga pada tahun lalu, setiap perkara yang dilakukan Haqiem dan isterinya, Anis Sofea pasti akan menyorot perhatian ramai.

Semua sifat budiman Haqiem terserlah menerusi sebuah video tular memaparkan penyanyi Mimpi itu menyahut cabaran menyolek wajah isterinya.

Namun, apa yang menarik perhatian ialah cara komunikasi pasangan muda itu bila bersama.

Tidak kurang juga ada yang menjadikan pasangan tersebut sebagai contoh sekiranya sudah mendirikan rumah tangga kelak.

"Alhamdulillah…Saya berada dalam fasa gembira ketika ini. Tidak dinafikan, sejak bergelar suami, status itu banyak mengajar saya untuk menjadi lebih matang dalam setiap perkara," kata Haqiem.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 11:04 AM