Saraleana Nattaya Azmi
Saraleana Nattaya Azmi
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Selepas empat hari tayangan, filem Gadis Jolobu The Movie mendapat sambutan memberangsangkan walaupun turut dikritik netizen.

Penerbit Eksekutif Zebra Studio yang menerbitkan filem itu, Saraleana Nattaya Azmi berkata, cita rasa penonton terlalu subjektif dan semuanya terpulang kepada mereka sama ada suka atau tidak.

"Alhamdulillah, ramai sukakannya setakat ini walaupun kami mengangkat kisah adat Melayu Negeri Sembilan sebagai fokus. Malah, penonton dari negeri lain pun ramai yang sokong.

"Berhubung kritikan netizen, saya tak ambil berat sangat kerana mereka bukan pengkritik yang memiliki latar belakang ilmu perfileman. Setiap individu ada cita rasa sendiri dan itu terlalu subjektif. Kami pun memang ambil risiko besar mengetengahkan budaya dari Negeri Sembilan dalam bentuk komedi ringan. Mungkin penonton dari negeri lain ada yang tak faham tetapi karya ini tetap untuk hiburan," katanya.

Saraleana turut mengulas dakwaan poster filem itu yang dikatakan meniru poster filem Hollywood berjudul Neighbours Sorority Rising 2.

Katanya, jika betul ditiru, mereka pasti sudah berdepan isu hak cipta.

"Kalau betul ada nampak persamaan, hal itu tidak disengajakan. Setakat ini pun kami tidak menerima apa-apa tindak balas berkenaan meniru hak cipta orang lain.

"Tak bolehlah sikit-sikit samakan dan cakap meniru. Sebelum ini pun ada saja poster filem tempatan yang berdepan situasi sama tapi bukan melanggar hak cipta pun," katanya.

Dalam pada itu, Sara turut berbesar hati apabila Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta keluarga meluangkan masa menonton filem berkenaan dan menyukainya.

Filem arahan CL Hor ini dibintangi Datuk Hattan, Joey Daud, Khir Rahman dan Ahirine Ahirudin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 8:51 PM