Alif Satar
Alif Satar
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Alif Satar antara yang terawal dijangkiti Covid-19 sekitar November 2020 menyarankan kepada orang ramai untuk menjauhi amalan merokok.

Alif, 32, menerusi paparan di Instagramnya, menyeru orang ramai supaya menjauhi amalan tidak sihat itu terutama ketika negara berdepan dengan virus berbahaya yang tidak berkesudahan itu.

"Soalan pertama yang diajukan doktor ketika saya dijangkiti Covid-19 adalah, adakah saya seorang perokok?

"Bagaimanapun, saya bukan seorang perokok, namun, seorang rakan yang sudah berhenti merokok, tetapi mempunyai sejarah merokok menerima rawatan berbeza. Mungkin disebabkan paru-paru tidak berfungsi dengan baik atau ada tar.

"Badan ini bukan milik kita, tetapi Allah pinjamkan. Jadi, kita perlulah menjaganya sebaiknya.

"Contohnya, jika diberikan kereta yang perlu dipakai seumur hidup, tentunya kita menjaga kereta seeloknya supaya boleh berfungsi dengan baik," kata Alif.

Pelatun lagu Lelaki Seperti Aku Itu menegaskan, setiap insan hanya dikurniakan satu jantung dan paru-paru, jadi, kenapa harus dirosakkan dengan merokok.

Sebaliknya, kata Alif, ia perlulah dijaga dengan baik kerana amanah Allah untuk umatnya.

"Kita hanya ada satu jantung dan paru-paru. Janganlah merosakkannya dengan merokok. Kalau boleh berhentilah merokok dan jika boleh dielak, cubalah elak.

"Marilah kita sama-sama mengamalkan cara hidup baik dan menjadi rakyat Malaysia yang lebih sihat dengan berhenti merokok," kata Alif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 6:53 PM