ANGGAP rezeki bergolek kerana ia filem sulung selain bergandingan dengan Beto, Azhan.
ANGGAP rezeki bergolek kerana ia filem sulung selain bergandingan dengan Beto, Azhan.
Syafil Syazwan Jefri


Menjadi pemain utama dalam filem bukanlah satu tugas yang mudah, lebih-lebih lagi apabila digandingkan dengan nama-nama besar dalam industri.

Bagi pelakon remaja, Idan Aedan, kemunculannya dalam filem berjudul Anak Rimau umpama rezeki bergolek buatnya, ditambah pula apabila dapat bergandingan dengan dua pelakon hebat iaitu Beto Kusyairy dan Azhan Rani.

"Bekerja dengan dua nama besar ini tentunya memberikan tekanan kepada saya secara peribadi," katanya membuka sesi temu bual.

Menurutnya, kemunculan dua bintang itu umpama satu rezeki buat pelakon muda sepertinya.

"Anak Rimau adalah filem pertama saya sebagai teraju utama. Tanggungjawab sebagai teraju utama memang berat, tapi, semuanya berjalan dengan lancar.

"Barisan pelakon dalam filem ini juga sangat padu. Saya anggap Beto dan Azhan sebagai senior yang tidak lokek untuk berkongsi ilmu. Banyak tip dan nasihat yang mereka kongsikan," katanya.

Memegang watak Arif, Idan turut menerima didikan ilmu lakonan daripada pelakon dan guru lakonan, Fatimah Abu Bakar.

"Saya sempat menjalani latihan lakonan bersama Cikgu Fatimah selama sebulan. Dalam masa sama, saya juga menjalani latihan bola sepak untuk menjayakan watak Arif ini.

"Antara pengalaman manis yang tak boleh saya lupakan adalah apabila berpeluang menjejakkan kaki ke Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari untuk menjalani latihan," katanya.

Selain bergelar pelakon, Idan juga meluahkan rasa gembira apabila turut bergelar penyanyi untuk OST filem ini.

"Ini pun sebenarnya tidak dirancang. Seperti semua sedia maklum, filem ini dah siap penggambarannya pada 2019, tapi belum dapat ditayangkan kerana pandemik.

"Tahun lalu, saya ditawarkan untuk menyanyikan lagu OST filem ini. Saya anggap itu sebagai satu lagi rezeki buat saya dalam bidang seni," katanya.

Menurutnya, selagi berdaya, dia akan terus meneroka pelbagai cabang seni tidak kiralah dunia lakonan mahupun muzik.

"Pada saya, selagi dikurniakan kudrat untuk meneroka dunia seni ini, saya akan buat. Insya-Allah, kalau ada rezeki saya menyimpan impian untuk pergi lebih jauh dalam muzik.

"Walau bagaimanapun, lakonan tetap menjadi keutamaan saya memandangkan itu adalah pintu masuk saya ke dalam industri seni di samping menjadi punca rezeki utama saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 6:20 AM