Nabila Huda.
Nabila Huda.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Nabila Huda hari ini bersiaran buat kali terakhir sebagai pengacara program hiburan, Melodi yang disiarkan di TV3.

Nabila ketika dihubungi meluahkan rasa gembiranya kerana diberi peluang untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara program sensasi itu selama setahun.

"Kontrak saya memang berakhir bulan ini selepas setahun bergelar pengacara Melodi. Saya memang sangat gembira sebab diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara selama setahun," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pengalaman sepanjang setahun banyak memberi ilmu baharu kepadanya dalam cabang karier sebagai pengacara.

"Banyak kenangan manis sepanjang saya mengacarakan Melodi. Saya anggap ini sebagai rezeki kerana ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, di saat ramai yang tidak dapat bekerja, saya diberikan rezeki untuk mengacara.

"Di situlah bermula rezeki saya sebagai pengacara dan saya belajar banyak perkara baharu antaranya, bagaimana untuk mengendalikan program TV secara online dari rumah, bagaimana untuk buat tetapan kamera, pencahayaan dan sebagainya.

"Saya nak berterima kasih kepada semua yang membantu saya di belakang tabir termasuklah rakan-rakan dan keluarga. Insya-Allah, saya nak aturkan satu majlis makan malam sebagai tanda terima kasih kepada mereka," katanya.

Selepas ini, Nabila akan meneruskan kerjayanya sebagai pelakon.

"Saya tak rasa sedih sebab ini adalah lumrah dalam pekerjaan dan kehidupan. Selepas selesai dengan sesuatu, kita akan jumpa orang baharu di tempat baharu.

"Saya akan teruskan kerja-kerja lakonan memandangkan itu adalah keutamaan saya dan pengacaraan adalah kerjaya sambilan saya," katanya.

Sebelum Nabila, program Melodi diacarakan oleh gandingan pengacara dan pelakon, Awal Ashaari dan Janna Nick.

Terbaharu, Nabila kita sedang menjalani penggambaran drama bersiri sains fiksyen berjudul Electric Dust Agency arahan pengarah Faisal Ishak yang akan ditayangkan di platform Viu Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 3:07 PM