Hariz Hamdan
Hariz Hamdan
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon baru Hariz Hamdan akur dengan layanan kurang mesra daripada segelintir pelakon yang lebih lama menapak dalam industri seni tempatan.

Memulakan langkah dalam bidang seni pada usia yang muda, pemilik nama penuh Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, mengakui pengalaman itu sedikit sebanyak meninggalkan impak terhadap emosinya.

"Saya lebih selesa untuk tidak berkongsi umur kerana pengalaman sebelum ini. Ada rakan artis yang menukar layanan mereka terhadap saya selepas mengetahui usia yang baru masuk 20 pada tahun ini.

"Ketika hari pertama masuk ke set, kami berborak macam biasa tapi bila dia tanya dan saya beritahu usia saya, mereka berubah. Terus macam kurang berinteraksi dengan saya.

"Mungkin boleh diibaratkan seperti saya tidak sama level dengan mereka. Saya akui benda ini sedikit sebanyak memberikan kesan pada saya.

"Bukan apa sebab kita nak kena berlakon bersama jadi kalau boleh nak selesa dalam set penggambaran. Sebab itu sekarang bila setiap kali saya masuk set sahaja, selagi orang (pelakon lain) tak tanya umur, memang saya tidak akan beritahu.

"Kalau orang nak anggap usia saya lebih tua pun tak mengapa, saya okay sahaja" kata Hariz.

Hariz berkongsi mengenai pengalamannya ketika ditemui di penggambaran filem seram berjudul Jemputan Ke Neraka arahan Amor Rizan.

Selain Hariz, filem terbitan AN Universal itu turut dibintangi oleh Janna Nick, Sharifah Sakinah, Hafreez Adam, Jasper Suppayah, Amy Nur Tinie dan Nick Syaf.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 3:25 PM