TERPILIH menjadi sebahagian daripada lembaga pelancongan negara berkenaan, kongsi pengalaman ketika di sana
TERPILIH menjadi sebahagian daripada lembaga pelancongan negara berkenaan, kongsi pengalaman ketika di sana
Affan Rostam


SETIAP orang pasti mempunyai tempat atau destinasi pelancongan tersendiri.

Ditambah pula selepas dua tahun terpaksa 'bercuti' daripada aktiviti pelancongan akibat pandemik Covid-19, pastinya ramai akan mengambil peluang itu.

Begitu juga buat pelakon Elfira Loy, 28, yang memilih Hong Kong sebagai destinasi pilihannya yang disifatkan mempunyai keunikan tersendiri.

Menurut Elfira, ia juga negara mesra Muslim dan keluarga.

Ibu kepada dua orang anak itu turut dipilih menjadi sebahagian daripada Lembaga Pelancongan Hong Kong yang berperanan untuk berkongsi pengalamannya ketika melancong ke negara itu.

"Sebelum ini pernah ke Hong Kong sebanyak tiga kali iaitu pada 2010, 2013 dan 2018. Ia bukan saja tempat kegemaran saya, tetapi setiap perjalanan ke sana adalah pengalaman bermakna bagi saya.

"Perjalanan pertama pada 2010 adalah bersama keluarga. Saya masih muda ketika itu, jadi tak ingat secara spesifik. Akan tetapi seingat saya, kami berjalan di tempat yang mempunyai makanan halal.

"Bahagian terbaik dalam perjalanan waktu itu adalah kami menghabiskan sepanjang hari di Disneyland. Saya dan adik-beradik lain sangat seronok waktu itu," katanya.

Menurutnya, percutian kedua pada 2013 adalah paling bermakna kerana ia percutian bersama adik beradiknya bagi penggambaran rancangan Destinasi Ria.

Elfira turut berkongsi, Hong Kong adalah negara yang sangat mudah untuk mendapatkan makanan halal dan mencari tempat untuk solat dan negara itu mempunyai semua keperluan umat Islam.

Seramai 300,000 umat Islam tinggal di Hong Kong dan terdapat pelbagai masjid yang indah dengan setiap satunya mempunyai sejarah tersendiri.

"Kami tidak perlu bersusah payah mencari makanan halal atau kemudahan untuk umat Islam. Penduduk tempatan benar-benar ramah dan akan membantu jika kami perlukan bantuan.

"Terdapat juga komuniti Islam yang besar di sana yang membolehkan kami untuk meminta bantuan dengan mudah jika perlu," katanya.

Perjalanan pada 2018 turut istimewa buat Elfira disebabkan ketika itu dia meraikan sambutan hari jadinya ke 24 tahun.

"Ia seolah-olah rumah kedua saya. Walaupun itu adalah perjalanan kerja, tetapi ia menjadi istimewa kerana saya menyambut hari jadi di sana," katanya.

Sebaik saja bergelar isteri dan ibu, Elifra perlu merancang keperluan keluarganya seperti jadual perjalanan, solat, makan dan aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga.

"Inilah sebabnya saya merasakan Hong Kong adalah salah satu tempat terbaik untuk pelancong Muslim.

"Makanan halal yang mudah didapati selain mempunyai banyak masjid untuk solat dan juga surau yang disediakan di taman tema. Jadi, ia benar-benar memudahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 10:37 PM