DJ Lin
DJ Lin
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyampai radio Suria FM, DJ Lin mengakui memperoleh banyak pengalaman baru menerusi Persidangan Radio Eropah 2022 yang disertainya di Malmo Massan, Malmo Sweden.

DJ Lin, 47, atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid berkata, pelbagai pengisian dalam bentuk bual bicara serta perkongsian pengalaman berkenaan isu-isu berkaitan dunia radio dibincangkan sepanjang tiga hari persidangan dari 15 Mei hingga semalam.

"Ramai penggiat, pengamal dan peneraju industri radio dari seluruh dunia terbabit dengan persidangan ini.

"Banyak ilmu serta pengalaman baru berkenaan perkembangan dunia radio pada masa kini dan juga berkenaan masa depan dunia radio itu sendiri kami bualkan.

"Saya juga dapat berkenalan dengan ramai pencinta dunia radio yang mempunyai minat yang tinggi terhadap dunia radio dari pelbagai latar belakang, jawatan dan negara," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, segala info, ilmu serta pengalaman yang diperoleh menerusi persidangan ini akan dimanfaatkan sebaiknya dalam usaha memantapkan lagi stesen radio Suria FM dari masa ke semasa.

Dalam pada itu, DJ Lin turut meluahkan rasa teruja apabila berpeluang melawat empat buah negara iaitu Denmark, Sweden, Britain dan Perancis selama 10 hari.

"Saya hanya pernah ke luar negara bagi menunaikan ibadah umrah pada tahun 2010 dan 2012. Selepas itu dah tiada.

"Tak sangka pula dah 23 tahun dalam dunia radio, saya dapat pergi empat negara iaitu Denmark, Sweden, Britain dan Perancis dalam satu masa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 12:34 PM