Eyra Rahman
Eyra Rahman
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pengarah Eyra Rahman menyarankan stesen televisyen supaya tidak mengambil mana-mana selebriti yang dikendalikan oleh pengurus yang mendatangkan masalah kepada produksi.

Eyra atau pemilik nama sebenar Nor Zahirah Abdul Rahman berpendapat selebriti popular tidak menjamin hasil sesuatu naskhah dan produk.

"Artis yang popular belum tentu dapat menjamin produk yang bagus! Saya boleh jamin perkara ini kerana semua berlaku dengan izin Allah SWT.

"Malah, saya berpendapat stesen TV patut tahu yang mana artis di bawah naungan pengurus ini akan bagi masalah. Bukan semua tapi ada banyak menyusahkan orang belakang tabir!," kata Eyra.

Pengarah berusia 40 tahun itu meluahkan amarah dengan sikap segelintir pengurus kepada selebriti yang tamak dengan menerima banyak tawaran dalam satu masa sehingga menyusahkan pihak produksi.

Eyra menerusi laman Instagram miliknya berkata tindakan pihak tersebut juga telah menjejaskan sumber pendapatan pekerja di belakang tabir.   

"Artis pada zaman ini jika kita sudah 'lock' tidak memberikan apa-apa jaminan. Apatah lagi artis yang dikendalikan oleh pengurus kerana mereka mengaut semua tawaran dan memeningkan pihak produksi.

"Tak kisah kau nak pulun berapa job sekali pun tapi kau kena ingat bukan mulut kau saja nak makan. Orang belakang tabir ini lagi memerlukan.

"Jadi jangan fikir kau punya periuk saja. Fikir periuk lain lagi. Hidup ini bukan sebab hidup kau saja. Kalau tak tahu nak menyenangkan orang, kau jangan menyusahkan orang," katanya.

Malah, pengarah telefilem Angah ini masih berpegang kepada pesanan ibunya yang mengingatkannya agar sentiasa belajar untuk tidak menyusahkan kehidupan orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 3:37 PM