EZAD Lazim
EZAD Lazim
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Ada yang mesej (DM) Instagram saya kata konon kalau tak suka parti politik, tak payahlah ambil show atau buat hantaran sebegini.

"Sebenarnya ia tiada kena mengena dengan mana-mana parti politik. Saya okey saja menyanyi dengan mana-mana pihak. Kita hanya menghibur bukannya terbabit dengan mana-mana parti,".

Demikian kata penyanyi dan pelakon Ezad Lazim berkenaan penafiannya dalam Facebook berkenaan persembahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri membabitkan sebuah parti politik pada 21 Mei ini.

Menurutnya, dia sebenarnya tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pihak berhubung perkara terbabit dan tidak tahu langsung sehinggalah dimaklumkan oleh peminat.

"Sama ada saya mahupun isteri (Zeana Ramli), tiada sesiapa pun hubungi kami untuk 'deal' dan sebagainya.

"Tiba-tiba apabila saya jumpa orang dan tengok dalam Facebook serta Ig, terpampang gambar saya dalam poster. "Tak kurang ramai yang DM saya kata nak jumpa di Selama, Perak pada 21 Mei. Dah tentu saya terkejut. Padahal tiada mana-mana pun pihak hubungi kami dan kami tak tahu menahu," katanya kepada Harian Metro.

Ezad berkata, dia perlu membuat hantaran begini untuk mengelakkan namanya demi kepentingan diri sendiri.

"Kita tak tahu kalau ada orang gunakan nama saya untuk ambil deposit tapi saya tak dihubungi pun untuk buat show ini.

"Mana tahu saat akhir nanti dia buat cerita saya tak nak datang atau 'kencing'. Saya berani cakap kerana pernah kena sebelum ini.

"Individu ini tak hubungi saya dan pakai nama saya kata saya nak datang. Bila hari kejadian penganjur hubungi dia tanya kenapa saya tak datang.

"Dia kata saya tak nak datang show dan penipu sedangkan saya tak tahu apa-apa. Reputasi saya dah buruk. Itu sebabnya saya kena tulis perkara ini," katanya.

Ezad tidak menyalahkan mana-mana pihak tetapi tujuannya hanya untuk menjelaskan perkara sebenar.

"Pada tarikh terbabit juga, saya sebenarnya menjayakan program Pesta Angin Timur Perlis 2022 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis.

"Perkara ini sudah lama dipersetujui bersama," katanya. Jadi agak mustahil untuk saya terbabit dengan program lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 4:19 PM