Hafiz bersama isteri dan anak
Hafiz bersama isteri dan anak
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pempengaruh dan usahawan terkenal, Hafiz Mahamad mendedahkan isterinya Syafiqah Aina masih belum pulih daripada gangguan dan penyakit misteri yang tular di media sosial baru-baru ini.

Hafiz berkata, dia dan isteri bagaimanapun kuat dan tabah menempuh ujian hebat ini serta menyerahkan sepenuhnya kepada Allah.

"Sebagai suami apabila melihat Aina terkena penyakit misteri, memang saya marah dan geram. Tapi ia buat kami sedar, setiap perbuatan tak perlu dibalas begitu, sebaliknya kami perlu usaha dan buktikan kepada mereka yang kami boleh menjadi lebih baik.

"Biarpun belum pulih sepenuhnya tapi kami kuat. Allah ada dan kami kena terus berjuang. Saya bukan nak mencabar atau merendahkan mereka, namun saya nak tunjukkan, Allah Maha berkuasa. Buatlah macam mana pun saya tetap akan sebarkan kebaikan.

"Apa yang kami usahakan selama ini hanyalah untuk bantu orang lain tambah pendapatan. Kenapa perlu kacau kami sampai begini.

"Apapun yang mereka buat kami tidak akan membalas kembali. Sakit itu biarlah kami yang simpan. Dalam realiti kami sangat gembira," katanya ketika ditemui pada majlis Ainaa Beauty Annual Gala Dinner di Marriot Putrajaya, baru-baru ini.

Menurut Hafiz, biarpun trauma dengan kejadian yang menimpa, namun dia dan isteri tidak berputus asa dan saling menumpahkan kasih sayang antara mereka.

"Jujurnya kami agak trauma atas apa yang berlaku. Jika sebelum ini, andai ada yang menghantar produk makanan, kami akan 'review' tanpa sebarang cas untuk bantu usahawan lain. Namun kejadian yang berlaku buatkan kami berfikir banyak kali.

"Dalam rumah tangga pula, setiap hari kami bahagia. Kami sweet antara satu sama lain dan ada '5 minute rules' dalam perkahwinan di mana andai berlaku apa sahaja perselisihan, sama ada saya atau Aina akan meminta maaf dan berpelukan selepas itu supaya ia tidak berpanjangan," katanya.

Sempena ulang tahun kelima Ainaa Beauty, pasangan itu meraikan kerja keras usahawannya sepanjang tahun 2021 dengan pelbagai hadiah lumayan termasuklah sebuah kereta Proton Axia, dua buat Proton X50 serta lebih 40 biji Iphone 13 Pro Max dan beberapa set perhiasan emas.

Selain itu, produk kecantikan itu turut memperkenalkan wajah baharu rangkaian produknya dengan reka bentuk botol yang lebih moden dan inovatif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 4:07 PM