TIARA Jacquelina
TIARA Jacquelina
Syafil Syazwan Jefri


"Baru saja nak bernyawa selepas enam bulan akibat pandemik, kena banjir kilat bulan Disember, elok-elok cuba untuk bangkit semula, terkena banjir kilat lagi,".

Demikian luahan pelakon dan penerbit, Puan Sri Tiara Jacquelina di platform media sosialnya mengenai bencana alam yang berlaku dan merosakkan lokasi peranginan miliknya, Tiarasa Escapes Glamping Resorts yang berlokasi di Janda Baik, Pahang. 

Dalam hantaran itu, Tiara memaklumkan bahawa kesan banjir kilat kali ini lebih teruk berbanding sebelum ini. 

"Janda Baik kesayangan kami terkesan daripada banjir kilat sekali lagi, dan kali ini lebih teruk daripada yang berlaku pada Disember lalu. 

"Sepanjang empat tahun beroperasi dan sepanjang sejarah Janda Baik, ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Ia sangat menyedihkan dan mengecewakan," tulisnya.

Tiara turut berkongsi rasa dukanya apabila melihat beberapa resort dan tempat penginapan lain yang lebih parah berbanding lokasinya.

"Mujurlah Tiarasa Escapes berada di tempat yang lebih tinggi dan tidak terlalu teruk kesannya berbanding jiran-jiran kami. Sedih sangat bila tengok video resort dan tempat penginapan lain hanyut dibawa arus, tenggelam di bawah lumpur.

"Tabahlah komuniti Janda Baik. Apa pun, ini tak boleh berulang. Saya berharap agar pihak berkuasa tempatan akan menyiasat apa juga aktiviti tidak bertanggungjawab yang berlaku di hulu, yang menyebabkan berlakunya insiden ini kepada kami dan seluruh penduduk Janda Baik," tulisnya

Menurutnya, pihak pengurusannya terpaksa menutup tempat peranginannya selama tiga hari dan terpaksa meminta pelanggan mereka untuk mendaftar keluar.

"Banjir yang berlaku memaksa kami untuk menutup operasi kami selama tiga hari kerana masalah bekalan air. Kami terpaksa meminta pelanggan kami untuk daftar keluar dan datang semula di lain waktu untuk merasai pengalaman di sini.

"Sepanjang hari ini (semalam), pasukan kami bekerja keras untuk membersihkan kolam renang serta dua khemah berhampiran sungai yang sangat terjejas teruk akibat lumpur.

"Insya-Allah, Janda Baik dan Tiarasa akan kembali dengan lebih kuat dan lebih baik. Kami akan lebih bersiap sedia untuk berdepan dengan bencana alam yang akan 'mengamuk' lagi di masa akan datang," tulisnya. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 7:02 PM