Keluarga Engku Emran dan Noor Nabila
Keluarga Engku Emran dan Noor Nabila
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Kakak kepada selebriti popular, Neelofa iaitu Noor Nabila berharap orang luar terus mendoakan kebahagiaan dirinya dengan ahli perniagaan, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Nabila berkata, dia kini menikmati kehidupan yang diimpikan sebagai isteri selain kini memegang tanggungjawab membesarkan dua cahaya mata.

"Alhamdulillah sudah hampir setahun kami melayari bahtera rumah tangga, namun saya akui perjalanan ini masih panjang.

"Cuma saya harap orang luar dapat doakan yang terbaik untuk kebahagiaan kami sekeluarga. Saya bersyukur dipertemukan suami yang sangat positif serta penyayang.

"Saya seronok dengan kehidupan sekarang. Selain melayan keletah Jebat Jayden, saya juga sangat menyayangi Aleesya yang sudah saya anggap seperti anak sendiri," katanya.

Menurut Nabila, sambutan Aidilfitri tahun ini begitu bermakna apabila dapat meraikan bersama-sama.

"Tahun ini saya memilih tema warna biru untuk pakaian pada satu Syawal lalu. Alhamdulillah kami dapat berkumpul pada hari yang cukup bermakna.

"Jayden juga sangat seronok apabila dapat duit raya daripada saudara-mara. Tambah pula, tahun ini kami dapat keluar menyambut hari raya," katanya.

Untuk rekod, Noor Nabila pernah mendirikan rumah tangga bersama Sharnaaz pada 31 Mac 2017 dan bercerai secara hakam pada 9 Julai 2020 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Mereka dikurniakan seorang anak lelaki Jebat yang kini berusia empat tahun.

Sementara itu, Engku Emran pula pernah mendirikan rumah tangga bersama Erra pada 25 Oktober 2007 dan berpisah pada 18 Februari 2014.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya yang kini berumur 13 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 2:02 PM