Datuk Awie
Datuk Awie
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Datuk Awie bakal arahkan filem pertama berjudul Rebel.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 53, ketika ditemui berkata, ini adalah permulaan yang baik untuk kerjaya pengarahannya dan teruja untuk memulakan penggambaran filem aksi drama itu.

"Sebelum ini, saya pernah menjadi pengarah aksi untuk filem Iskandar. Tetapi, itu hanyalah untuk babak-babak aksi sahaja.

"Kini, saya berpeluang mengarahkan satu filem sepenuhnya dan mungkin Tuhan kurniakan peluang ini kepada saya kerana saya sudah lama idamkan untuk mengarahkan filem aksi.

"Tentunya saya begitu teruja kerana Allah makbulkan doa dan impian saya," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia sebelum ini ingin memulakan langkahnya sebagai pengarah lebih awal, namun memberi ruang kepada karya lain terlebih dahulu.

"Sebenarnya, cita-cita untuk mengarah filem aksi timbul sudah lama, sebelum filem seperti KL Gangster dan sebagainya muncul lagi.

"Namun, saya pendam buat sementara untuk memberikan laluan kepada filem-filem aksi sedia ada pada ketika itu sebab tak mahu menghasilkan benda yang lebih kurang sama.

"Apabila diberi peluang untuk mengarahkan filem terbitan Wau Production Sdn Bhd dan Rumah Produksi Merah ini, kebetulan, ceritanya dah ada dan saya berikan sedikit olahan semula di samping beberapa penambahbaikan," katanya.

Filem Rebel bakal dibintangi pelakon antaranya Ben Amir, MK K-Clique, Shiqin Kamal dan Awie sendiri.

Ia mengisahkan mengenai perjalanan hidup seorang pemuda bernama Luka yang hidup dalam persekitaran 'gelap' dengan pelbagai aktiviti tidak bermoral seperti pelacuran, dadah dan gengsterism.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 1:41 PM